Pergi ke kandungan

Airbus A318

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Airbus A318
aircraft taking off with wheels retracted
Air France Airbus A318 (2012), pengendali penumpang terbesar dan satu-satunya yang masih ada
Maklumat am
PerananPesawat berbadan sempit
Negara asalBerbilang negara[a]
PengeluarAirbus
StatusDalam perkhidmatan terhad
Pengguna utama
Jumlah dibina80[1]
Sejarah
Dikilangkan2001 – 2013
Tarikh diperkenalkan2003 dengan Frontier Airlines
Penerbangan sulung15 Januari 2002; 24 tahun yang lalu (2002-01-15)
Dalam perkhidmatan2003 – kini
Dibangunkan dariAirbus A319
PenerusAirbus A220 (segmen pasaran)

Airbus A318, yang diberi gelaran Baby Bus, merupakan varian pesawat komersial yang paling kecil dan paling sedikit jumlahnya dalam Keluarga Airbus A320. Pesawat A318 mampu membawa seramai 107 hingga 132 orang penumpang dan mempunyai jarak penerbangan maksimum sejauh 5,750 kilometer (3,100 batu nautika; 3,570 batu).[2] Pemasangan akhir pesawat ini dilakukan di Hamburg, Jerman. Ia direka utamanya untuk perkhidmatan jarak dekat.

Pesawat ini berkongsi penarafan jenis (type rating) yang sama dengan semua varian keluarga Airbus A320 yang lain, sekali gus membolehkan juruterbang mengendalikan kesemua versi pesawat tersebut tanpa memerlukan latihan tambahan. Pesawat ini merupakan pesawat komersial kedua terbesar yang mendapat pensijilan daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah untuk operasi pendekatan curam (steep approach), di belakang Airbus A220, yang membolehkannya beroperasi di lapangan terbang seperti London City.[3]

A318 mula berkhidmat pada bulan Julai 2003 bersama syarikat penerbangan Frontier Airlines. Berbanding dengan varian keluarga Airbus A320 yang lain, model ini terjual dalam jumlah yang kecil dengan keseluruhan tempahan sebanyak 80 buah pesawat sahaja. Model jenis ini tidak lagi disenaraikan untuk jualan, selepas digantikan oleh pesawat berbadan sempit A220. Air France merupakan pengendali syarikat penerbangan komersial terakhir yang masih menggunakan Airbus A318, selain menjadi pengendali terbesarnya dalam sejarah.[4] Setakat ini, tiada sebarang laporan mengenai kemalangan yang melibatkan pesawat jenis tersebut.[5]

Reka bentuk

[sunting | sunting sumber]

Airbus A318 ialah sebuah pesawat komersial berbadan sempit (lorong tunggal) bersaiz kecil dengan gear pendaratan jenis trisikal yang boleh ditarik balik, dan dikuasakan oleh dua buah enjin turbofan yang dipasang pada pilon sayap. Dua syarikat pembekal, iaitu CFM International dengan enjin CFM56-5B dan Pratt & Whitney dengan enjin PW6000, membekalkan enjin turbofan untuk pesawat A318. Ia merupakan sebuah monoplan jejalar berkendali sayap rendah dengan unit ekor konvensional yang mempunyai penstabil tegak tunggal dan kemudi.

Secara keseluruhannya, A318 adalah enam meter lebih pendek dan kira-kira 3 t (6,600 lb) lebih ringan berbanding model A320. Bagi mengimbangi lengan momen yang berkurangan, ia dilengkapi dengan penstabil tegak yang lebih besar. Walaupun konsep awal menggambarkan pesawat ini mempunyai sambungan sirip dorsal seperti model Boeing 737,[6] reka bentuk akhir sebaliknya menyertakan sambungan pada hujung sirip, menjadikannya 75 sentimeter (30 in) lebih tinggi daripada varian A320 yang lain. Juruterbang yang terlatih untuk mengendalikan varian lain boleh menerbangkan A318 tanpa memerlukan pensijilan tambahan, memandangkan ia mempunyai ruang kemudi (dek penerbangan) sepunya dan penarafan jenis yang sama dengan pesawat seinduknya. A318 juga dikenali sebagai A318-100.[7]

A318 ditawarkan dengan pelbagai pilihan Berat berlepas maksimum (MTOW) yang berbeza, bermula daripada model asas 59 tan (130,000 lb) dengan jarak penerbangan 2,750 kilometer (1,480 nmi; 1,710 bt) sehinggaga versi 68 t (150,000 lb) dengan jarak 6,000 km (3,200 nmi; 3,700 bt). Apabila dilengkapi dengan enjin CFM56-5B8/P, A318 tersedia dengan MTOW sebanyak 56 atau 68 t (123,000 atau 150,000 lb). Apabila menggunakan enjin CFM56-5B9/P pula, ia tersedia dengan MTOW 59 atau 68 t (130,000 atau 150,000 lb).[8] MTOW yang lebih rendah membolehkannya mengendalikan laluan serantau secara menjimatkan (ekonomi) dengan mengorbankan jarak penerbangan, manakala MTOW yang lebih tinggi membolehkannya melengkapi ahli keluarga A320 yang lain bagi laluan yang mempunyai permintaan marginal. Berat A318 yang lebih ringan memberikannya jarak operasi 10% lebih besar daripada A320, sekali gus membolehkannya berkhidmat bagi beberapa laluan yang tidak dapat ditampung oleh A320: sebagai contoh, London – New York, Perth–Auckland dan Singapura–Tokyo. Walau bagaimanapun, kegunaan utamanya bagi syarikat penerbangan adalah untuk penerbangan pintas jarak dekat berkepadatan rendah antara bandar-bandar bersaiz sederhana.

Keupayaan pendekatan curam

[sunting | sunting sumber]
Airbus A318 milik British Airways di Lapangan Terbang London City
Dua buah pesawat Boeing 747-400 milik British Airways (kiri) dan sebuah Airbus A318 (kanan) di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York

Pada Mac 2006, Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) telah memperakui peningkatan perisian kawalan yang diubah suai pada Airbus A318 yang direka bagi membolehkan pesawat tersebut melakukan pendekatan curam (steep approach).[9] Pesawat ini merupakan pesawat komersial terbesar yang mendapat pensijilan daripada EASA untuk operasi pendekatan curam.[3] Perisian tersebut mengubah suai hukum kawalan pesawat apabila fungsi pendekatan curam dipilih oleh anak kapal, dengan mengerahkan beberapa panel spoiler secara automatik untuk memberikan daya heretan tambahan apabila pesawat berada dalam konfigurasi pendaratan.[9] Ia juga memberikan amaran bunyi alternatif kepada anak kapal dan mengubah suai pengerahan spoiler secara automatik di bawah ketinggian 37 meter (120 ka) semasa mendarat.[9] Prosedur pendekatan curam A318 membolehkan pesawat melakukan pendekatan pada sudut penurunan sehingga 5.5°, berbeza dengan sudut standard 3° bagi pendekatan normal.[3]

Satu penerbangan ujian telah dijalankan pada Mei 2006 bagi membuktikan prestasi pendekatan curam dan landasan pendek pesawat ini dengan mendarat di Lapangan Terbang London City, di mana pendekatan curam sedemikian amat diperlukan. Penerbangan ujian tersebut turut mengesahkan keserasian pesawat dengan ruang pengendalian dan tempat letak pesawat yang terhad di lapangan terbang berkenaan.[9] Seterusnya, pada Ogos 2009,[10] Airbus menyerahkan pesawat A318 pertama dengan keupayaan pendekatan curam kepada British Airways, yang mula mengendalikan laluan tersebut pada bulan berikutnya sebagai perkhidmatan Club World London City. Syarikat itu akhirnya memiliki dua buah pesawat sedemikian yang mampu melakukan penerbangan antara Lapangan Terbang London City dan Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York. Bagi perjalanan ke arah barat dari London, persinggahan adalah perlu untuk mengisi semula bahan api, yang dilakukan di Lapangan Terbang Shannon, Ireland disebabkan sekatan berat diperlukan untuk berlepas dalam jarak landasan pendek sedia ada di Lapangan Terbang London City. Bagi perjalanan ke arah timur dari New York, had ini tidak wujud dan pesawat boleh membawa kesemua bahan api yang diperlukan untuk laluan transatlantik terus ke London. Setakat November 2017, hanya sebuah pesawat yang beroperasi untuk laluan ini, yang dikendalikan dalam konfigurasi kelas perniagaan sepenuhnya dengan 32 tempat duduk.[11] Pesawat kedua telah dihentikan operasinya pada 31 Julai 2020, berikutan Pandemik COVID-19 yang menyebabkan model jenis ini tidak lagi ekonomik.[12]

Sejarah operasi

[sunting | sunting sumber]
Frontier Airlines merupakan pengendali pertama bagi pesawat A318.

Pemasangan akhir bagi Airbus A318 dijalankan di Hamburg, Jerman, walaupun pemasangan akhir bagi model pesawat keluarga A320 yang lain turut dilakukan di Toulouse, France; Hamburg, Jerman; Tianjin, China; dan Mobile, Alabama, AS.[13] Penerbangan sulung bagi Airbus A318 telah dilakukan dari Lapangan Terbang Hamburg Finkenwerder pada 15 Januari 2002.[14] Penghantaran pertama kepada pelanggan adalah pada 22 Julai 2003 kepada Frontier Airlines.[15]

Setakat 30 September 2017, sebanyak 67 buah pesawat A318 masih kekal dalam perkhidmatan dengan lima buah syarikat penerbangan, di samping digunakan oleh pihak kerajaan, jet eksekutif dan peribadi, serta pengendali yang tidak didedahkan.[1] Frontier Airlines, selaku pelanggan pelancaran yang memperoleh pesawat A318 antara tahun 2003 dan 2007, telah menghentikan operasi pesawat A318 terakhir mereka menjelang tahun 2013.[16] Air France merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang masih mengendalikan pesawat A318.[17]

Pengendali

[sunting | sunting sumber]

Setakat November 2024, pengendali bagi pesawat Airbus A318 adalah seperti berikut:[1]

Pengendali Dalam perkhidmatan
Air France 6
Pihak kerajaan, jet eksekutif dan peribadi 18
Pengendali yang tidak didedahkan 30
Jumlah54

Tempahan dan penghantaran

[sunting | sunting sumber]
TempahanPenghantaran
Jumlah20132012201120102009200820072006200520042003
8123226131789109

Data sehingga akhir September 2017. Dikemas kini pada 7 Oktober 2017.[1]

  1. ↑ Perhimpunan terakhir di Jerman.
  1. 1 2 3 4 "Airbus aircraft Orders and Deliveries (updated monthly)". Airbus S.A.S. 30 November 2021. Dicapai pada 9 December 2021.
  2. ↑ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama "A318 specifications"
  3. 1 2 3 "Steep approach". airbus.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Januari 2013. Dicapai pada 1 April 2015.
  4. ↑ Co, Aviation (2025-06-06). "Airbus A318: Airlines That Still Fly It and Why It's So Rare". aviation.co (dalam bahasa Inggeris AS). Dicapai pada 2025-10-28.
  5. ↑ https://www.aeroinside.com/aircraft-type/a318/airbus-a318#
  6. ↑ Kingsley-Jones, Max (15 Jun 1999). "Cut and Thrust". Flight International. 155 (4680): 150, 153–154. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Mac 2016. Dicapai pada 3 Januari 2016.
  7. ↑ https://www.britishairways.com/en-us/information/about-ba/fleet-facts/airbus-318-100 Diarkibkan 15 Disember 2016 di Wayback Machine Dicapai pada 29 Jun 2017.
  8. ↑ https://www.faa.gov/documentLibrary/media/Advisory_Circular/AC%2036-1H%20Chg%201.pdf Diarkibkan 4 Mei 2017 di Wayback Machine Dicapai pada 7 Mei 2017.
  9. 1 2 3 4 Learmount, David (13 Mei 2006). "Airbus A318 makes first test arrival and departure at London City Airport". Flightglobal. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 September 2007. Dicapai pada 1 April 2015.
  10. ↑ Kaminski-Morrow, David (29 Ogos 2009). "First British Airways A318 arrives at London Gatwick". Flightglobal. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Disember 2017. Dicapai pada 2 Mei 2017.
  11. ↑ "Club World London City". britishairways.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Mac 2016. Dicapai pada 2 Mac 2016.
  12. ↑ Orban, André (31 Julai 2020). "British Airways retires the A318 "BabyBus" operating the London City-New York JFK route". Aviation24.be (dalam bahasa Inggeris British). Dicapai pada 24 Mac 2022.
  13. ↑ "Final assembly lines – Airbus, Commercial Aircraft". airbus. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Februari 2017.
  14. ↑ "A318 takes off on maiden flight" (Siaran akhbar). Airbus. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2011.
  15. ↑ Gunston 2009, halaman 223
  16. ↑ Nickeson, Blaine (6 September 2013). "North America & Frontier Says Goodbye to the Babybus – Airbus A318". AirlineReporter. Dicapai pada 2023-03-27.
  17. ↑ https://aerospaceglobalnews.com/news/rare-birds-aircraft-you-can-still-fly-today-but-not-for-long/