Pergi ke kandungan

Estonia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Republik Estonia
Eesti Vabariik
Lagu kebangsaan: Mu isamaa, mu õnn ja rõõm
("Tanahairku, Kebahagiaanku")
Lokasi  Estonia  (dark green)– di Eropah  (green & dark grey)– di the Kesatuan Eropah  (green)  –  [Petunjuk]
Lokasi  Estonia  (dark green)

– di Eropah  (green & dark grey)
– di the Kesatuan Eropah  (green)  –  [Petunjuk]

Ibu negara
dan bandar terbesar}
Tallinn
Bahasa rasmiEstonia1
Kumpulan etnik
68.8 % Estonia
25.5 % Rusia
  5.7 % kelompok minoriti yang lain[1]
PemerintahRepublik berparliamen
• Presiden
Alar Karis
Kristen Michal (RE)
Kemerdekaan dari 
Keluasan
• Jumlah
45,228 km2 (17,463 bt2) (132nd2)
• Perairan (%)
4.45%
Populasi
• Perkiraan 2023
Neutral increase 1,365,884[2]
• Bancian penduduk tahun 2021
1,331,824[3]
30.6/km2 (79.3/sq mi) (148th)
KDNK (PPP)2023
• Jumlah
▲ USD61.757 bilion[4] (ke-113)
• Per kapita
▲ USD46,385 [4] (ke-40)
KDNK (nominal)2023
• Jumlah
▲ USD41.55 billion[4] (ke-102)
• Per kapita
▲ USD31,207[4] (ke-37)
Gini (2021)negative increase 30.6[5]
sederhana
HDI (2021)▲ 0.890[6]
sangat tinggi (ke-31)
Mata wangEuro (EUR)
Zon waktuUTC+2 (EET)
• Musim panas (DST)
UTC+3 (EEST)
Kod panggilan+372
Kod ISO 3166EE
DPT internet.ee3
  1. Bahasa Võro dan Bahasa Seto di kaunti-kaunti selatan dituturkan bersama bahasa Estonia. Bahasa Rusia dituturkan di Ida-Virumaa dan Tallinn, kesan rancangan Soviet yang memupuk penghijrahan buruh industri beramai-ramai dari Rusia selepas perang.
  2. 47,549 km2 (18,359 bt2) ditetapkan mengikut Perjanjian Tartu antara Estonia dan Rusia pada tahun 1920. Kini, 2,323 km2 (897 bt2) yang selebihnya adalah wilayah Rusia.
    Kawasan-kawasan yang diserahkan termasuk kaunti Petserimaa dan kawasan sempadan di utara Tasik Peipus iaitu Tanah-Tanah di belakang bandaraya Narva termasuk Ivangorod (Jaanilinn).[7][8]
  3. .eu juga dikongsi dengan negara-negara anggota lain Kesatuan Eropah.

Estonia (bahasa Estonia: Eesti), rasminya Republik Estonia (bahasa Estonia: Eesti Vabariik), merupakan sebuah negara di kawasan Baltik Eropah Utara. Estonia bersempadan dengan Teluk Finland di utara, Laut Baltik di barat, Latvia di selatan (343 km), dan Tasik Peipus dan Rusia di timur (338,6 km)[9]. Keluasan wilayah seluas 45,227 km2 (17,462 bt2) dan dipengaruhi iklim sederhana. Bangsa Estonia tergolong daripada orang Finnik manakala bahasa rasminya ialah bahasa Estonia yang merupakan sejenis bahasa Finno-Ugrik.

Estonia merupakan sebuah republik yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan yang mempunyai 15 daerah. Ibu kota dan bandar terbesarnya ialah Tallinn. Dengan populasi 1.29 juta, Estonia merupakan antara negara yang mempunyai kependudukan yang paling sedikit dalam Kesatuan Eropah, Zon euro, dan NATO. Estonia juga mempunyai produk domestik kasar per kapita yang tertinggi antara bekas republik Soviet.[10] Estonia disenaraikan sebagai negara yang mempunyai ekonomi berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia manakala Tabung Kewangan Antarabangsa mengiktirafkannya sebagai negara ekonomi maju dengan keahliannya dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengklasifikasikan Estonia sebagai negara maju dengan Indeks Pembangunan Manusia yang sangat tinggi,[11] dan bertaraf tinggi dalam hal kebebasan media (ke-3 di dunia pada 2012[12]), kebebasan ekonomi, kebebasan politik dan pendidikan.

Prasejarah

[sunting | sunting sumber]

Penempatan manusia di Estonia bermula pada 11,000 sehingga 13,000 tahun lalu, apabila batu ais era glasier mula ciar. Penempatan tertua Estonia ialah penempatan Pulli, yang dahulunya terletak di tebing Sungai Pärnu, berhampiran berdekatan bandar Sindi, di barat-daya Estonia. Berdasarkan pentarikhan radiokarbon penempatan dihuni sejak kira-kira 11,000 tahun lalu pada permulaan milenium ke-9 SM.

Alat yang diperbuat oleh budaya Kunda, Muzium Sejarah Estonia
Artifak Zaman Besi dari Kumna[13]

Bukti tentang pemburuan dan pemancingan kumpulan seawal 6500 SM wujud berhampiran pekan Kunda di utara Estonia. Artifak tulang dan batu yang sama dengan yang dijumpai di Kunda juga ditemui di tempat lain di Estonia, Latvia, utara Lithuania, dan selatan Finland. Kebudayaan Kunda berasal dari Zaman Batu Pertengahan atau zaman mesolitik.

Perubahan budaya berlaku pada pengakhiran Zaman Gangsa dan awal Zaman Besi. Perubahan yang paling ketara ialah peralihan ke pertanian, yang menjadi teras ekonomi dan kebudayaan zaman tersebut. Antara abad ke-1 dan ke-5 SM masyarakat berasaskan pertanian mula wujud, kependudukannya bertambah dan penempatannya mula meluas. Pengaruh budaya Empayar Rom mula mempengaruhi Estonia.

Dokumentasi masyarakat pertama yang menghuni kawasan yang kini dikenali sebagai Estonia ialah suku Aesti, menurut sejarawan Rom, Tacitus, dalam bukunya Germania (kira-kira 98 M). Tacitus menulis istilah-istilah mereka untuk batu ambar dalam bentuk yang dilatinkan, glesum (dari bahasa Latvi glīsas). Inilah satu-satunya kata dari bahasa mereka yang terakam dari zaman kuno. Meskipun demikian, suku Aesti pada umumnya dipandang sebagai nenek moyang orang Baltik.

Zaman Besi lebih bermasalah dan dikuasai oleh peperangan diikuti dengan bahaya-bahaya dari luar kawasan yang berasal dari suku-suku Baltik, yang menyerang melintasi sempadan darat selatan, dan dari seberang laut. Beberapa saga Scandinavia menuliskan kempen pembalasan melawan Estonia. Pembajak Estonia menjalankan serbuan melawan Viking. "Perompak pagan" yang menjarah bandar kecil Sigtuna (kini termasuk Sweden) pada permulaan Zaman Pertengahan, pada tahun 1187, adalah orang Estonia.

Pada abad ke-1 M, pembahagian politik dan pentadbiran mula dilakukan di Estonia. Dua pembahagian kawasan yang besar muncul: wilayah (bahasa Esti: kihelkond) dan tanah (bahasa Esti: maakond). Wilayah terdiri daripada beberapa kampung atau kawasan-ketua. Hampir semua wilayah mempunyai minimum satu benteng. Pertahanan daerah tempatan dipimpin oleh pegawai tertinggi, raja atau ketua. Pada abad ke-13 tanah-tanah besar seterusnya juga dikembangkan di Estonia: Revala, Harju, Saare, Hiiu, Lääne, Alempois, Sakala, Ugandi, Jogentagana, Soopoolitse, Vaiga, mohu, Nurmekund, Järva, dan Virumaa.

Estonia memelihara agama pagan yang bertumpu pada satu dewa yang disebut Tarapita. Kisah Henry dari Livonia menyebutkan Tharapita sebagai dewa tertinggi penduduk Pulau Saaremaa, juga dikenali oleh suku-suku Vironia utara Estonia.

Zaman pertengahan

[sunting | sunting sumber]

Pada permulaan abad ke-13, Lembitu, seorang ketua suku Sakala berupaya menyatukan masyarakat Estonia dan menggagalkan usaha penaklukan oleh bangsa Denmark dan Jerman pada Perang Salib Livonia. Dia menyusun tentera angkatan darat yang terdiri daripada 6,000 lelaki dewasa Estonia dari bermacam-macam negara, tetapi dia terbunuh dalam Pertempuran Hari Santo Matius pada bulan September 1217.

Pada tahun 1228, selepas Perang Salib Livonia, hingga dekad 1560-an, Estonia menjadi sebahagian daripada Terra Mariana, yang dibentuk pada tarikh 2 Februari 1207 sebagai sebuah kepangeranan Empayar Rom Suci dan diisytiharkan oleh Paus Innocencius III pada tahun 1215 sebagai wilayah bawahan Takhta Suci. Bahagian selatan negara ini ditakluk oleh Persaudaraan Pedang Livonia yang menggabung dengan Kesatria Teuton pada tahun 1237 dan menjadi cabangnya yang dikenali sebagai Ordo Livonia. Di bahagian utara negara ini dibentuk Kadipaten Estonia sebagai sebuah dominion langsung Raja Denmark dari tahun 1219 sehingga tahun 1346 ketika wilayah itu dijual kepada Kesatria Teuton dan menjadi sebahagian daripada Ordenstaat.Pada tahun 1343, masyarakat Estonia Utara dan Saaremaa memberontak melawan kuasa Jerman dalam Pemberontakan Malam Santo George, yang berjaya dipadamkan pada tahun 1345.

Reval (dikenali sebagai Tallinn sejak tahun 1918) memperoleh hak Lübeck pada tahun 1248 dan menggabungi sebuah perikatan kesatuan pekerja perdagangan yang disebut Liga Hansa pada akhir abad ke-13.

Setelah Order Teuton mengalami kemunduran mengikuti kekalahannya dalam Pertempuran Grunwald pada tahun 1410, dan kekalahan Order Livonia dalam Pertempuran Pabaiskas pada tarikh 1 September 1435, perjanjian Gabungan Livonia ditandatangani pada tarikh 4 Disember 1435.Kadipaten Agung Moscow dan Empayar Rusia mengupayakan serbuan pada tahun 1481 dan 1558, walaupun gagal. Gabungan Livonia dinyatakan bubar akan selepas Perang Livonia (1558-1582). Peperangan telah mengurangkan jumlah penduduk Estonia dari kira-kira 250.000-300.000 jiwa sebelum Perang Livonia menjadi kira-kira 120.000-140.000 jiwa pada dekad 1620-an.

Reformasi dan Estonia Sweden

[sunting | sunting sumber]

Reformasi di Eropah rasminya bermula pada tahun 1517 oleh Martin Luther (1483-1546) dan 95 dalilnya. Reformasi ini menghasilkan perubahan besar di wilayah Baltik. Gagasan-gagasan yang masuk ke dalam Gabungan Livonia sangatlah cepat dan pada dekad 1520-an mereka cukup terkenal. Bahasa, pendidikan, agama, dan politik bertransformasi besar-besaran. Perkhidmatan gereja disajikan menggunakan bahasa daerah, tidak lagi bahasa Latin, yang sebelumnya digunakan.Dalam Perang Livonia pada tahun 1561, Estonia Utara berada di bawah kawalan Sweden. Estonia Selatan pada dekad 1560-an berbentuk Kadipaten Livonia yang autonomi dalam Komanwel Poland-Lithuania di bawah pengawasan gabungan Mahkota Kerajaan Poland dan Kadipaten Agung Lithuania, terdiri dari dua kepangeranan Estonia sekarang: kepangeranan Dorpat (daerah Tartu) dan kepangeranan Parnawa (daerah Pärnu). Pada tahun 1629, daratan besar Estonia seluruhnya menjadi berada di bawah kuasa Sweden. Estonia secara pentadbiran dibahagikan kepada Wilayah Estonia di utara dan Livonia di selatan Estonia dan utara Latvia, sebuah pembahagian kawasan yang masih berlangsung hingga permulaan abad ke-20.

Pada tahun 1631, Raja Sweden, Gustavus II Adolfus memaksa kaum bangsawan untuk memberi kaum tani hak-hak yang lebih besar, walaupun perhambaan masih dipertahankan. Pada tahun 1632, sebuah media cetak dan universiti ditubuhkan di Kota Dorpat (dikenali sebagai Tartu sejak tahun 1918). Tempoh ini dikenali dalam sejarah Estonia sebagai "Zaman Sweden Tua yang Baik".

Pertumbuhan penduduk yang stabil tetap berlangsung hingga menjangkitnya wabak pada tahun 1657. Kelaparan besar pada tahun 1695-1697 telah mengorbankan kira-kira 70,000 jiwa, atau hampir 20% penduduk ketika itu.

Empayar Rusia

[sunting | sunting sumber]

Setelah penyerahan Estonia dan Livonia pada Perang Utara Besar, Empayar Sweden kehilangan Estonia yang menjadi milik Russia mengikut Perjanjian Nystad. Tetapi, kelas-kelas tinggi dan menengah-tinggi masih dikuasai oleh Jerman Baltik. Perang telah mengurangkan populasi Estonia, tetapi pulih kembali dengan cepat. Walaupun hak-hak petani pada awalnya diperlemah, perhambaan dihapuskan pada tahun 1816 di Wilayah Estonia dan pada tahun 1819 di Livonia. Selepas Revolusi Rusia, Tallinn berada di bawah kawalan Soviet sampai tarikh 24 Februari 1918, ketika kemerdekaan Estonia diumumkan.

Penyataan kemerdekaan

[sunting | sunting sumber]

Sebagai hasil dari penghapusan perhambaan dan ketersediaan pendidikan bagi penduduk asal yang tidak berbahasa Estonia, gerakan aktif nasionalis Estonia ditubuhkan pada abad ke-19. Gerakan ini bermula pada tataran budaya, hasilnya adalah pendirian kesusasteraan bahasa Estonia, teater, dan muzik profesional dan membuka jalan bagi pembentukan jat idiri kebangsaan Estonia dan kebangkitan nasional Estonia. Di antara para pemimpin pergerakan adalah Johann Voldemar Jannsen, Jakob Hurt dan Carl Robert Jakobson.

Pencapaian yang penting adalah penerbitan epik kebangsaan, Kalevipoeg pada tahun 1862, dan penyelenggaraan festival lagu kebangsaan pertama pada tahun 1869. Sebagai aksi tandingan tempoh Rusifikasi yang diasaskan Empayar Rusia pada dekad 1890-an, nasionalisme Estonia lebih bernada politik, yang pada saat itu kaum terpelajar menyeru autonomi yang diperluaskan, dan kemudian, kemerdekaan penuh dari Empayar Russia.

Setelah kaum Bolshevik mengambil alih kuasa di Rusia menyusul Revolusi Oktober pada tahun 1917 dan kemenangan Jerman melawan tentera Rusia, antara mundurnya Tentera Merah Rusia dan kedatangan tentera Jerman, Jawatankuasa Penyelamat Estonia dari Maapäev mengumumkan kemerdekaan Estonia di Pärnu pada tarikh 23 Februari 1918 dan di Tallinn pada tarikh 24 Februari 1918.

Setelah memenangi Perang Kemerdekaan Estonia melawan Rusia Soviet dan Freikorps Jerman dan sukarelawan Pertahanan Darat Baltik, Perjanjian Damai Tartu ditandatangani pada tarikh 2 Februari 1920. Republik Estonia diiktiraf (de jure) oleh Finland pada tarikh 7 Julai 1920, oleh Poland pada tarikh 31 Disember 1920, oleh Argentina pada tarikh 12 Januari 1921 dan oleh Sekutu Barat pada tarikh 26 Januari 1921.

Estonia memelihara kemerdekaan selama 22 tahun. Mulanya menganut demokrasi berparlimen, parlimen (Riigikogu) dibubarkan pada tahun 1934, setelah berlakunya kekacauan politik yang disebabkan oleh krisis ekonomi global. Kemudian negara ini ditetapkan mengikut dekri oleh Konstantin Pats, yang menjadi Presiden Estonia pada tahun 1938, iaitu tahun ketika pemilihan ahli parlimen diadakan.

Perang Dunia II

[sunting | sunting sumber]

Nasib Estonia pada Perang Dunia II ditentukan oleh Pakatan Non-agresif Jerman-Soviet dan Protokol Tambahan Rahsia pada bulan Ogos 1939. Anggaran jumlah korban Perang Dunia II di Estonia sebanyak 25% populasi, merupakan salah satu yang tertinggi di Eropah. Korban tewas akibat perang dan pendudukan ditaksir sejumlah 90.000 jiwa. Ini termasuk pengusiran Soviet pada tahun 1941, pengusiran Jerman dan korban Holocaust.Perang Dunia II bermula dengan penyerbuan dan penyelesaian beruntun sekutu kawasan penting Estonia - Poland, melalui operasi gabungan Jerman Nazi dan Kesatuan Soviet.

Penyerbuan dan pendudukan oleh Soviet

[sunting | sunting sumber]

Nasib Republik Estonia sebelum Perang Dunia II ditentukan oleh Pakatan Non-agresif Jerman-Soviet Ogos 1939 selepas Stalin meraih perjanjian Hitler untuk membahagikan Eropah Timur menjadi "bola-bola kepentingan khusus" menurut Pakatan Molotov-Ribbentrop dan Protokol Tambahan Rahsia.

Pada tarikh 24 September 1939, beberapa kapal perang Tentera Laut Soviet Union merapat ke pelabuhan-pelabuhan Estonia dan pesawat pengebom Soviet mula berkawal di langit Tallinn dan perkampungan yang mengelilinginya.Kerajaan Republik Estonia dipaksa bersetuju perjanjian yang membolehkan Kesatuan Soviet mendirikan pangkalan tentera dan menempatkan 25,000 tentera di daratan Estonia untuk "pertahanan bersama".Pada tarikh 12 Jun 1940, arahan untuk mengadakan sekatan tentera total terhadap Estonia diberikan kepada Armada Baltik Soviet.

Pada tarikh 14 Jun 1940, sementara perhatian dunia sedang memusat pada jatuhnya Paris ke tangan Jerman Nazi sehari sebelumnya, sekatan tentera Soviet terhadap Estonia mula berlaku, dua pesawat pengebom milik Soviet berjaya menembak jatuh pesawat penumpang milik Finland "Kaleva" yang terbang dari Tallinn menuju Helsinki mengangkut tida pakej (bungkusan) diplomatik dari kedutaan Amerika Syarikat di Tallinn, Riga, dan Helsinki.Pada tarikh 16 Jun 1940, Kesatuan Soviet menyerbu Estonia. Tentera Merah keluar dari pangkalan tentera mereka di Estonia pada tarikh 17 Jun.Keesokan harinya, kira-kira 90,000 tentera tambahan memasuki negara ini. Untuk menghadapi tentera Soviet yang melimpah ruah, Kerajaan Estonia menyerah pada tarikh 17 Jun 1940 untuk mengelakkan pertumpahan darah.

Pendudukan tentera Estonia berakhir pada tarikh 21 Jun 1940. Sebahagian besar Tentera Estonia menyerah atas dasar komando Kerajaan Estonia yang percaya bahawa berkeras berlangsung tidak berguna dan bahkan akan dilucuti oleh Tentera Merah.Hanya Batalion Isyarat Bebas Estonia yang tetap bersiaga di Tallinn di Jalan Raua yang menunjukkan sikap pertahanannya terhadap Tentera merah dan Milisi Komunis yang disebut "Bela Diri Rakyat" pada tarikh 21 Jun 1940.Ketika Tentera Merah dibawa dalam penambahan kekuatan yang disokong oleh enam kenderaan tempur perisai, pertempuran berlangsung selama beberapa jam sehingga matahari terbenam. Pada akhirnya pertahanan tentera diberhentikan dengan rundingan dan Batalion Isyarat Bebas menyerah dan dilucuti.Ada dua pegawai Estonia yang tewas, Aleksei Männikus dan Johannes mandre, dan beberapa yang lain cedera di pihak Estonia dan kira-kira 10 terbunuh dan lebih banyak terluka di pihak Soviet.Milisi Soviet yang turut serta dalam pertempuran ini dipimpin oleh Nikolai Stepulov.

Pada tarikh 6 Ogos 1940, Estonia secara tidak sah diambil-alih oleh Kesatuan Soviet sebagai Republik Sosialis Soviet Estonia.Peralihan perlembagaan Estonia yang memerlukan referendum untuk menentukan penggabungan dengan unit supra-nasional ternyata diabaikan. Sebagai gantinya, pungutan suara untuk menggabungi Kesatuan Soviet justeru diadakan dalam pemilihan palsu yang dilakukan sebulan sebelum. Selain itu, mereka yang gagal menunaikan "tugas politik" mereka untuk memberikan suara sokongan bagi penggabungan Estonia ke dalam Kesatuan Soviet, khususnya mereka yang gagal mendapatkan pengesahan pasport mereka untuk ikut memilih, dihukum mati oleh mahkamah Soviet. Penindasan dilanjutkan dengan pengusiran besar -besaran yang dilaksanakan Soviet di Estonia pada tarikh 14 Jun 1941. Ada banyak cendekiawan dan pimpinan politik Estonia yang terbunuh atau diusir ke tempat yang jauh di Kesatuan Soviet oleh penguasa Soviet pada tahun 1940-1941. Penindasan juga ditujukan kepada ribuan rakyat biasa.

Ketika Operasi Barbarossa dimulakan Jerman melawan Kesatuan Soviet, kira-kira 34.000 pemuda Estonia dipaksa bergabung ke dalam Tentera Merah. Tidak lebih dari 30% di antaranya terlepas dari maut peperangan. Tahanan politik yang tidak boleh dipindahkan pada akhirnya dihukum mati oleh NKVD.

Banyak negara, termasuk Amerika Syarikat, tidak mengakui pengambil-alihan Estonia oleh Kesatuan Soviet. Negara-negara tersebut mengakui diplomat Estonia dan konsul-konsulnya yang masih berfungsi di banyak negara dengan menggunakan nama kerajaan terdahulu. Para diplomat Estonia tetap berlangsung dalam situasi yang serba tak menentu ini hingga kemerdekaan kawasan Baltik dipulihkan.

Politik Rusia kontemporari menolak bahawa Republik Estonia diambil-alih secara tidak sah oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1940. Mereka menyatakan bahawa tentera Soviet memasuki Estonia pada tahun 1940 setelah melalui perjanjian-perjanjian dan atas dasar persetujuan Kerajaan Republik Estonia, terlepas dari bagaimana tindakan mereka ditafsirkan pada masa kini. Mereka tetap berkeras bahawa Kesatuan Soviet tidak dalam keadaan perang dan tidak mengobarkan tindakan-tindakan peperangan dalam bentuk apapun di kawasan Estonia, oleh kerana itu usaha-usaha pendudukan dianggap tidak pernah ada. Versi rasmi Soviet (lama) dan Rusia (baru) sama-sama menyatakan bahawa pihak Estonia secara sukarela menyerahkan status kenegaraan mereka kepada Soviet. Para pejuang kebebasan pada tahun 1944-1976 digelar sebagai "bandit" atau "nazi". Kedudukan Rusia di atas Estonia tidak mendapat pengiktirafan dunia antarabangsa.

Pendudukan oleh Jerman

[sunting | sunting sumber]

Setelah Jerman menyerang Kesatuan Soviet pada tarikh 22 Jun 1941, Wehrmacht mampu mencapai Estonia dalam masa beberapa hari. Tentera Darat German menyeberangi sempadan Estonia di selatan pada tarikh 7 Julai. Tentera Merah berundur ke belakang jalur Sungai Pärnu - Emajõgi pada tarikh 12 Julai. Pada akhir bulan Julai, pasukan Jerman menyambung kembali penyusupan mereka ke Estonia, bahu membahu dengan Persaudaraan Hutan Estonia. Baik tentera Jerman mahupun partisan Estonia mengambil alih Narva pada tarikh 17 Ogos dan ibu kota Estonia, Tallinn, pada tarikh 28 Ogos. Setelah Soviet berjaya diusir dari Estonia, tentera German melucutkan semua kumpulan partisan.

Walaupun mulanya Jerman dianggap sebagai pembebas oleh sebahagian besar orang Estonia dari Kesatuan Soviet dan penindasannya, dan orang-orang Estonia berharap dapat memulihkan status kemerdekaan negara mereka, pada kenyataannya Jerman adalah perebut kuasa juga. Jerman menggunakan sumber Estonia untuk bekal peperangan; ini terjadi selama pendudukan Estonia dan digabungkan ke dalam wilayah Jerman yang bernama Ostland.

Keadaan ini membuat banyak orang Estonia, kerana enggan menyertai Nazi, menggabungi Tentera Darat Finland untuk berjuang melawan Kesatuan Soviet. Rejimen Infantri Finland 200 (bahasa Esti: soomepoisid) dibentuk, dianggotai sukarelawan Estonia di Finland. Walaupun ada ramai orang Estonia yang direkrut ke dalam angkatan bersenjata Jerman (termasuk Infantri Estonia SS), majoriti melakukan hal ini hanya pada tahun 1944 ketika ancaman serangan baru Estonia oleh Tentera Merah kian dekat dan jelaslah bahawa Jerman Nazi tidak mampu memenangi perang.

Pada bulan Januari 1944, barisan tersebut dipukul mundur oleh Tentera Merah mendekati bekas sempadan Estonia. Narva diungsikan. Jüri Uluots, perdana menteri yang terkini Republik Estonia yang diiktiraf (menurut Perlembagaan Estonia) sebelum kejatuhannya di hadapan Kesatuan Soviet pada tahun 1940, menghantar mesej radio yang meminta kepada seluruh lelaki yang berkemampuan yang mempunyai tahun kelahiran 1904 sampai 1923 untuk mengambil bahagian dalam tugas ketenteraan ( Sebelum ini, Jüri Uluots menolak penggerakan massa orang Estonia.) Panggilan ini menuai sokongan yang luas dari antero negara ini: 38.000 sukarelawan mendatangi pusat-pusat pendaftaran.

Beberapa ribu orang Estonia yang telah menggabungi Tentera Darat Finland kembali pulang melintasi Teluk Finland untuk menggabungi Angkatan Pertahanan Wilayah yang baru sahaja dibentuk, yang bertujuan untuk mempertahankan Estonia melawan serbuan Soviet. Diharapkan bahawa dengan terlibat dalam perang tersebut, Estonia dapat meraih sokongan dari Barat untuk melepaskan Estonia dari campur tangan Soviet, dan dengan demikian akan pula menghantarkan Estonia menuju pintu gerbang kemerdekaan.

Estonia Soviet

[sunting | sunting sumber]

Tentera Soviet menakluk kembali Estonia pada musim gugur tahun 1944 setelah pertempuran-pertempuran sengit di timur-laut negara ini di berhampiran Sungai Narva, di atas Jalur Tannenberg (Sinimäed), di Estonia Tenggara, di atas Sungai Emajõgi, dan di Kepulauan Estonia Barat.

Dalam menghadapi negara yang diduduki semula oleh Tentera Merah, puluhan ribu orang Estonia (termasuk sebahagian besar pakar pendidikan, kebudayaan, ilmu pengetahuan, politik, dan sosial) (ditaksir sebanyak 80.000 orang) memilih mundur bersama-sama Jerman atau berhijrah ke Finland atau Sweden. Pada tarikh 12 Januari 1949, Majlis Menteri Kesatuan Soviet mengeluarkan dekret "tentang pengusiran dan pengasingan" dari negara-negara Baltik bagi "semua kulak dan keluarga mereka, keluarga para bandit dan nasionalis", dan lain-lain.

Lebih daripada 200,000 orang dipercayai terusir dari kawasan Baltik pada rentang tahun 1940-1953. Selain itu, sekurang-kurangnya 75.000 dihantar ke Gulag. Lebih dari 10% penduduk dewasa Baltik diusir atau dihantar ke perkampungan pekerja Soviet.Menanggapi kesinambungan pemberontakan melawan kuasa Soviet,lebih dari 20,000 orang Estonia dibuang ke perkampungan pekerja atau Siberia (lihatlah Gulag).Dalam beberapa minggu seterusnya, hampir semua rumah tangga di luar bandar dikolektivisasi.

Selepas Perang Dunia II, sebagai sebahagian daripada tujuan untuk menyatukan negara-negara Baltik secara utuh ke dalam Kesatuan Soviet, pengusiran beramai-ramai di negara-negara Baltik dihentikan, dan dasar mempromosikan imigresen Soviet ke negara-negara Baltik dilanjutkan.Selain kehilangan jumlah manusia dan bahan-bahan yang cukup besar kerana perang, ribuan masyarakat awam terbunuh dan puluhan ribu orang diusir dari Estonia oleh Pihak Berkuasa Soviet hingga Joseph Stalin meninggal pada tahun 1953.

Setengah jumlah orang yang terusir tewas, setengah yang lain tidak dibenarkan untuk kembali ke tempat asal mereka hingga permulaan dekad 1960-an (selepas kematian Stalin). Pelbagai macam penindasan yang dilakukan tentera Soviet pada tahun 1940-1941 dan selepas pendudukan kembali menyulut perang gerila melawan Pihak Berkuasa Soviet di Estonia yang dilaksanakan pada permulaan dekad 1950-an oleh "persaudaraan hutan" (metsavennad) yang sebahagian besarnya terdiri daripada veteran Estonia yang pernah menggabungi tentera Jerman dan Finland ditambah dengan beberapa masyarakat biasa.Kerosakan material yang disebabkan oleh peperangan dunia dan dilanjutkan dengan campur tangan Soviet secara signifikan telah melambatkan pertumbuhan ekonomi Estonia, yang melebarkan jurang ekonomi berbanding dengan negara-negara jirannya, Finland dan Sweden.

Ketenteraan adalah aspek lain dari rejim Soviet. Bahagian-bahagian besar dari negara ini, khususnya di kawasan pesisir adalah terhad bagi semua pihak, kecuali tentera Soviet. Sebahagian besar pantai dan semua pulau (termasuk Saaremaa dan Hiiumaa) dinyatakan sebagai "zon sempadan". Orang yang bukan penduduk tempatan dilarang melawat kawasan ini tanpa kebenaran. Tempat penyiagaan tentera tertutup yang terkenal di kawasan ini adalah bandar Paldiski yang sama sekali terlarang bagi akses am. Bandar ini mempunyai pangkalan sokongan bagi kapal selam Armada Baltic Soviet dan beberapa pengkalan tentera yang besar, termasuk pusat latihan kapal selam nuklear yang mempunyai pesawat model berskala penuh kapal selam nuklear dengan reaktor nuklear aktif. Bangunan-bangunan reaktor Paldiski diambil-alih oleh Estonia pada tahun 1994 setelah tentera terkini Soviet meninggalkan negara ini.Imigresen adalah kesan lain dari pendudukan Soviet. Ratusan ribu kaum asing dikembalikan ke Estonia dari bahagian-bahagian lain Kesatuan Soviet untuk membantu perindustrian dan ketenteraan, yang menyumbangkan bertambahnya penduduk negara ini sebanyak setengah juta orang dalam masa 45 tahun.

Setelah kemerdekaan

[sunting | sunting sumber]

Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Itali, dan majoriti negara demokrasi di Barat memandang the pencaplokan Estonia oleh Kesatuan Soviet melanggar undang-undang antarabangsa. Mereka yang memelihara hubungan diplomatik dengan wakil Republik Estonia yang merdeka, tidak pernah mengakui secara de jure keujudan Republik Sosialis Soviet Estonia, dan tidak pernah mengakui Estonia sebagai entiti yang sah dari Kesatuan Soviet.pulihnya kemerdekaan Estonia menjadi mungkin ketika Kesatuan Soviet menghadapi cabaran -cabaran rejim dalam negeri, kehilangan kawalannya atas empayar perluasan. Seiring berjalannya dekad 1980-an, bermulalah pergerakan yang menuntut autonomi bagi Estonian. Pada tempoh awal tahun 1987-1989, sebahagian kemerdekaan ekonomi mula semua, tetapi ketika Kesatuan Soviet semakin lemah, dan semakin terang benderang bahawa tidak pernah ada jalan pintas bagi kemerdekaan penuh yang boleh dilakukan, maka negara ini menempuh jalan ke arah penentuan nasib sendiri.

Pada tahun 1989, selama berlangsungnya "Revolusi Bernyanyi", di sebuah demonstrasi mercu tanda yang menuntut kemerdekaan penuh, yang disebut Rantai Baltik berupa sebanjar lebih daripada dua juta orang, membentuk jalur yang melalui Lithuania, Latvia, dan Estonia. Tiga bangsa ini mempunyai pengalaman yang sama tentang hal pendudukan wilayah, dan tuntutan yang sama untuk memperoleh kemerdekaan. Kenyataan Kedaulatan Estonia diumumkan pada tarikh 16 November 1988 dan kemerdekaan rasmi dinyatakan pada tarikh 20 Ogos 1991, mewujudkan kembali negara merdeka sebelum tahun 1940, bersamaan masa dengan percubaan rampasan kuasa tentera Soviet di Moscow. Kesatuan Soviet mengakui kemerdekaan Estonia pada tarikh 6 September 1991. Negara pertama yang mengakui pemulihan kemerdekaan Estonia secara diplomatik adalah Iceland. Serdadu terkini Rusia beranjak dari negara ini pada tarikh 31 Ogos 1994.

Perluasan Kesatuan Eropah 2004 adalah perluasan Kesatuan Eropah terbesar, dalam hal banyaknya kawasan dan jumlah penduduk, tetapi bukan dalam hal produk domestik kasar (kesejahteraan). Estonia adalah salah satu dalam kumpulan sepuluh negara yang digabungkan ke dalam Kesatuan Eropah pada tarikh 1 Mei 2004. Traktat Gabungan 2003 ditandatangani pada tarikh 16 April 2003.

Politik dan pentadbiran

[sunting | sunting sumber]

Estonia ialah sebuah republik berparlimen yang demokratik dan kesatuan. Susunan perlembagaan semasanya berasaskan Perlembagaan Republik Estonia, yang diluluskan melalui referendum pada 28 Jun 1992 dan berkuat kuasa pada 3 Julai tahun yang sama. Perlembagaan menetapkan bahawa kuasa tertinggi negara terletak pada rakyat serta bahawa badan perundangan, eksekutif dan kehakiman berfungsi menurut prinsip pemisahan kuasa dan keseimbangan antara institusi negara.[14] Sistem politiknya bersifat berbilang parti, dengan kerajaan lazimnya dibentuk melalui gabungan parti di Riigikogu.

Institusi negara

[sunting | sunting sumber]
Istana Toompea di Tallinn, tempat bersidangnya Parlimen Estonia
Istana Toompea di Tallinn menempatkan Riigikogu, badan perundangan kebangsaan Estonia.

Kuasa perundangan dipegang oleh Riigikogu, sebuah parlimen satu dewan yang terdiri daripada 101 ahli yang dipilih untuk tempoh empat tahun. Selain menggubal undang-undang, Riigikogu meluluskan belanjawan negara dan perjanjian antarabangsa, menjalankan pengawasan parlimen terhadap kerajaan, mengundi usul tidak percaya serta memainkan peranan dalam pelantikan beberapa pegawai kanan negara. Parlimen juga memilih presiden republik dan memberi kuasa kepada calon perdana menteri untuk membentuk kerajaan.[15]

Presiden Republik merupakan ketua negara dan menjalankan terutamanya fungsi perlembagaan serta perwakilan, manakala kuasa eksekutif harian dijalankan oleh kerajaan yang diketuai perdana menteri. Presiden dipilih secara tidak langsung untuk tempoh lima tahun dan seseorang tidak boleh dipilih lebih daripada dua penggal berturut-turut. Calon memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada keseluruhan anggota Riigikogu, iaitu 68 daripada 101 ahli. Jika tiada calon dipilih selepas tiga pusingan pengundian di parlimen, pemilihan beralih kepada sebuah badan pemilih yang terdiri daripada anggota Riigikogu dan wakil majlis kerajaan tempatan.[16]

Walaupun jawatan presiden tidak menjalankan pemerintahan harian, presiden mempunyai beberapa kuasa perlembagaan yang penting. Antaranya termasuk mencalonkan calon perdana menteri, melantik dan memberhentikan menteri atas cadangan perdana menteri, mengisytiharkan undang-undang yang diluluskan Riigikogu serta mengembalikan sesuatu undang-undang kepada parlimen untuk dipertimbangkan semula. Sekiranya Riigikogu meluluskan semula undang-undang tersebut tanpa pindaan, presiden boleh mengisytiharkannya atau memohon Mahkamah Agung menyemak kesesuaiannya dengan perlembagaan.[16] Presiden semasa, Alar Karis, dipilih oleh Riigikogu pada 31 Ogos 2021 dengan 72 undi dan mengangkat sumpah pada 11 Oktober 2021.[17]

Rumah Stenbock di Tallinn, tempat kedudukan Kerajaan Estonia
Rumah Stenbock di Tallinn ialah tempat kedudukan Kerajaan Republik Estonia.

Kerajaan Republik Estonia terdiri daripada perdana menteri dan para menteri. Selepas sesebuah kerajaan meletakkan jawatan, presiden mencalonkan seorang calon perdana menteri, yang kemudiannya perlu memperoleh kebenaran Riigikogu untuk membentuk kerajaan. Perdana menteri menyelaras dasar dan kerja kerajaan, manakala setiap menteri mengetuai bidang pentadbiran masing-masing.[14] Kristen Michal daripada Parti Reformasi Estonia menjadi perdana menteri pada 23 Julai 2024.[18] Sejak Mac 2025, kerajaannya berasaskan gabungan Parti Reformasi Estonia dengan Eesti 200, yang menggantikan gabungan tiga parti yang turut merangkumi Parti Demokratik Sosial.[19]

Pilihan raya dan parti politik

[sunting | sunting sumber]

Ahli Riigikogu dipilih melalui sistem perwakilan berkadar dalam 12 kawasan pilihan raya. Kerusi diberikan melalui gabungan mandat peribadi, mandat kawasan dan mandat pampasan. Hanya parti yang memperoleh sekurang-kurangnya 5% undi sah di peringkat kebangsaan layak mengambil bahagian dalam pembahagian mandat kawasan dan pampasan, dengan mandat pampasan diperuntukkan menggunakan bentuk terubah suai kaedah D'Hondt.[20]

Dalam pilihan raya Riigikogu 2023, enam parti melepasi ambang 5% dan memperoleh kerusi. Parti Reformasi muncul sebagai parti terbesar dengan 31.2% undi dan 37 daripada 101 kerusi.[21]

Parti yang memenangi kerusi dalam pilihan raya Riigikogu 2023[21]
Parti Undi Peratus Kerusi
Parti Reformasi Estonia 190,632 31.2% 37
Parti Rakyat Konservatif Estonia 97,966 16.1% 17
Parti Tengah Estonia 93,254 15.3% 16
Eesti 200 81,329 13.3% 14
Parti Demokratik Sosial 56,584 9.3% 9
Isamaa 50,118 8.2% 8

Salah satu ciri utama sistem pilihan raya Estonia ialah penggunaan pengundian Internet (i-voting). Kaedah ini mula diperkenalkan dalam pilihan raya kerajaan tempatan pada 2005 dan kemudiannya digunakan dalam pilihan raya Riigikogu, Parlimen Eropah dan pilihan raya kerajaan tempatan. Dalam pilihan raya Riigikogu 2023, sebanyak 313,514 orang mengundi melalui Internet dan 312,182 undi elektronik akhirnya dikira.[22] Pengundi boleh menggantikan undi elektronik mereka mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk dengan mengundi menggunakan kertas di pusat mengundi, yang kemudiannya mengatasi undi elektronik terdahulu.[23]

Hak mengundi dalam pilihan raya kerajaan tempatan telah diubah melalui pindaan perlembagaan pada 2025. Pindaan itu menarik balik hak mengundi warga negara ketiga mulai pilihan raya tempatan Oktober 2025. Penduduk tanpa kewarganegaraan dibenarkan mengundi dalam pilihan raya 2025 sebagai aturan peralihan, tetapi selepas pilihan raya tersebut hak mengundi tempatan diperuntukkan kepada warganegara Estonia dan negara anggota Kesatuan Eropah.[24]

Kehakiman dan semak imbang

[sunting | sunting sumber]

Kehakiman Estonia bebas daripada cabang perundangan dan eksekutif dalam pentadbiran keadilan. Sistem mahkamah mempunyai tiga peringkat. Mahkamah daerah dan mahkamah pentadbiran menjadi mahkamah peringkat pertama, mahkamah litar menjadi mahkamah rayuan peringkat kedua, manakala Mahkamah Agung Estonia di Tartu merupakan mahkamah tertinggi dan peringkat ketiga. Mahkamah Agung juga menjalankan fungsi semakan perlembagaan, menjadikannya mahkamah tertinggi bagi perkara sivil, jenayah dan pentadbiran serta badan utama bagi pengadilan perlembagaan.[25]

Satu lagi unsur semak imbang ialah Canselor Kehakiman (Õiguskantsler), sebuah institusi perlembagaan bebas yang tidak tergolong dalam cabang perundangan, eksekutif atau kehakiman. Canselor menyemak sama ada undang-undang dan peraturan mematuhi perlembagaan dan undang-undang lain, di samping menjalankan fungsi ombudsman bagi melindungi hak asasi dan prinsip pentadbiran yang baik.[26]

Pentadbiran tempatan

[sunting | sunting sumber]

Estonia terbahagi kepada 15 daerah (Estonia: maakond) dan 79 unit kerajaan tempatan. Reformasi pentadbiran wilayah pada 2017 mengurangkan bilangan kerajaan tempatan daripada 213 kepada 79 melalui penggabungan sejumlah besar bandar dan perbandaran. Selepas reformasi itu terdapat 15 bandar berstatus kerajaan tempatan dan 64 perbandaran luar bandar.[27] Estonia kekal mempunyai 15 daerah selepas perubahan sempadan yang berkaitan dengan reformasi tersebut.[28]

Lima belas daerah Estonia ialah Harju, Hiiu, Ida-Viru, Jõgeva, Järva, Lääne, Lääne-Viru, Põlva, Pärnu, Rapla, Saare, Tartu, Valga, Viljandi dan Võru.[28]

Daerah di Estonia
Bil. Bendera Daerah Nama dalam bahasa Estonia Ibu daerah[29] Keluasan
(km²)[30]
Penduduk berdaftar
(1 Januari 2026)[31]
Kepadatan penduduk
(orang/km²)
Kod ISO 3166-2[29]
1 Bendera Daerah Harju Harju Harju maakond Tallinn 4,327 649,816 150.2 EE-37
2 Bendera Daerah Hiiu Hiiu Hiiu maakond Kärdla 1,023 9,798 9.6 EE-39
3 Bendera Daerah Ida-Viru Ida-Viru Ida-Viru maakond Jõhvi 2,972 126,309 42.5 EE-45
4 Bendera Daerah Jõgeva Jõgeva Jõgeva maakond Jõgeva 2,545 26,677 10.5 EE-50
5 Bendera Daerah Järva Järva Järva maakond Paide 2,674 28,909 10.8 EE-52
6 Bendera Daerah Lääne Lääne Lääne maakond Haapsalu 1,816 20,391 11.2 EE-56
7 Bendera Daerah Lääne-Viru Lääne-Viru Lääne-Viru maakond Rakvere 3,696 57,220 15.5 EE-60
8 Bendera Daerah Põlva Põlva Põlva maakond Põlva 2,165 23,444 10.8 EE-64
9 Bendera Daerah Pärnu Pärnu Pärnu maakond Pärnu 5,419 86,566 16.0 EE-68
10 Bendera Daerah Rapla Rapla Rapla maakond Rapla 2,765 33,645 12.2 EE-71
11 Bendera Daerah Saare Saare Saare maakond Kuressaare 2,938 34,300 11.7 EE-74
12 Bendera Daerah Tartu Tartu Tartu maakond Tartu 2,993 162,933 54.4 EE-79
13 Bendera Daerah Valga Valga Valga maakond Valga 1,917 26,815 14.0 EE-81
14 Bendera Daerah Viljandi Viljandi Viljandi maakond Viljandi 3,422 44,390 13.0 EE-84
15 Bendera Daerah Võru Võru Võru maakond Võru 2,305 33,890 14.7 EE-87

Angka penduduk merujuk penduduk yang direkodkan dalam Rahvastikuregister pada 1 Januari 2026. Kepadatan penduduk dikira berdasarkan angka penduduk berdaftar tersebut dan keluasan yang dipaparkan; oleh itu, angkanya mungkin berbeza sedikit daripada siri penduduk tetap dan kepadatan penduduk yang diterbitkan oleh Statistics Estonia.

Daerah bukan merupakan peringkat kerajaan tempatan yang mempunyai majlis terpilih. Menurut undang-undang pembahagian pentadbiran Estonia, pentadbiran negara di peringkat daerah dilaksanakan oleh kementerian yang bertanggungjawab dan agensi kerajaan mengikut bidang masing-masing.[32] Kerajaan daerah negeri yang wujud sebelum ini dibubarkan pada 1 Januari 2018 dan tugasnya dipindahkan sama ada kepada kementerian dan agensi kerajaan pusat atau kepada kerajaan tempatan.[33]

Perlembagaan menjamin autonomi kerajaan tempatan dalam mengatur urusan setempat menurut undang-undang. Setiap bandar atau perbandaran mempunyai sebuah majlis yang dipilih secara langsung untuk tempoh empat tahun, manakala badan eksekutif kerajaan tempatan dibentuk oleh majlis tersebut. Datuk bandar atau ketua perbandaran dipilih oleh majlis dan bertanggungjawab membentuk pentadbiran eksekutif.[34] Tanggungjawab kerajaan tempatan merangkumi antara lain perkhidmatan sosial, kebajikan, perumahan dan kemudahan awam, bekalan air dan pembetungan, pengurusan sisa, perancangan ruang, pengangkutan awam tempatan serta pembinaan dan penyelenggaraan jalan perbandaran.[34]

Pentadbiran awam Estonia juga banyak bergantung pada infrastruktur digital. Lapisan pertukaran data negara X-tee, yang dahulunya dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai X-Road, membolehkan sistem maklumat sektor awam dan swasta bertukar data secara selamat melalui mekanisme pengesahan, kebenaran berbilang peringkat, penyulitan dan tandatangan digital. Sistem ini berfungsi sebagai lapisan kesalingoperasian antara pangkalan data, bukannya sebuah pangkalan data berpusat, dan menjadi antara infrastruktur teras pentadbiran elektronik Estonia.[35]

Peta relief Estonia yang menunjukkan variasi ketinggian muka bumi
Peta relief Estonia.

Estonia terletak di Eropah Utara, di pantai timur Laut Baltik, dengan Teluk Finland di utara dan Teluk Riga di barat daya. Pemetaan semula garis pantai pada 2024 menetapkan keluasan wilayah negara pada 45,335 km². Pemetaan tersebut turut meningkatkan bilangan pulau laut yang direkodkan daripada 2,222 kepada 2,317, terutamanya hasil pemetaan garis pantai yang lebih terperinci.[36] Antara pulau utamanya ialah Saaremaa dan Hiiumaa, yang terletak di luar pesisir barat. Garis pantai Estonia sangat berlekuk, dengan banyak teluk, selat, pulau dan pulau kecil; panjangnya kira-kira 4,015 km apabila pulau dan pulau kecil turut diambil kira menurut peta asas kebangsaan.[37] Garis pantai terus berubah secara beransur-ansur akibat kenaikan aras daratan, perubahan aras laut, ribut, hakisan dan pemendapan sedimen.[36]

Estonia berkongsi sempadan darat sepanjang 343 km dengan Latvia.[38] Sempadan dengan Rusia pula sepanjang 338.6 km. Daripada jumlah itu, kira-kira 135 km merentasi kawasan berhutan dan sukar dilalui, 76 km mengikuti Sungai Narva dan 127 km terletak di Tasik Peipus.[39]

Perjanjian Damai Tartu yang ditandatangani pada 2 Februari 1920 menetapkan sempadan timur Estonia ketika itu; kawasan perbandaran di sebelah timur Narva serta Daerah Petseri menjadi sebahagian daripada wilayah Estonia, dan menurut Kementerian Luar Estonia, garis tersebut kekal sehingga 1944.[40] Estonia dan Rusia kemudiannya menandatangani perjanjian mengenai sempadan negara serta persempadanan kawasan maritim di Moscow pada 18 Februari 2014.[41] Walau bagaimanapun, dalam amalan semasa, pihak berkuasa Estonia masih merujuk garis operasi antara kedua-dua negara sebagai "garis kawalan sementara"; istilah itu masih digunakan secara rasmi dalam insiden sempadan di Sungai Narva pada Disember 2025.[42]

Bentuk muka bumi Estonia mempunyai ketinggian yang sederhana, dengan kawasan yang lebih tinggi tertumpu di bahagian tenggara. Titik tertinggi negara ialah Suur Munamägi, pada ketinggian 317.4 m dari aras laut.[36] Bentuk muka bumi pesisir dan kepulauan pula umumnya rendah. Proses pascaglasier masih mempengaruhi landskap, termasuk pembentukan dan perubahan tasik pesisir; di barat laut Estonia, kenaikan daratan masih berlaku pada kadar kira-kira 2 hingga 3 mm setahun.[43]

Perairan dan landskap semula jadi

[sunting | sunting sumber]

Perairan pegun meliputi kira-kira 4.9% wilayah Estonia. Sistem Maklumat Alam Sekitar Estonia (EELIS) merekodkan hampir 2,800 tasik semula jadi dan buatan, tidak termasuk sebahagian besar kolam dan badan air yang sangat kecil.[43] Berdasarkan data EELIS setakat 1 November 2024, sistem Peipus–Pihkva merupakan tasik terbesar dengan keluasan keseluruhan 3,543 km² dan dikongsi dengan Rusia, manakala Võrtsjärv seluas 270 km² merupakan tasik besar utama di pedalaman Estonia.[43] Tasik semula jadi terdalam ialah Rõuge Suurjärv, yang mencapai kedalaman 38 m.[44]

Rangkaian sungai Estonia padat, tetapi kebanyakan sungainya pendek, mempunyai kawasan tadahan yang kecil dan aliran yang secara relatifnya rendah. Sungai Narva, yang membentuk sebahagian sempadan dengan Rusia, mempunyai kadar aliran air terbesar di negara itu. Banyak sungai besar di tanah besar berpunca di sekitar Tanah Tinggi Pandivere sebelum mengalir ke Teluk Finland, Teluk Riga atau Tasik Peipus.[44] Fenomena karst juga ketara di Estonia utara dan di kepulauan, sehingga beberapa aliran air mengalir di bawah tanah pada sebahagian laluannya.[44]

Kolam dan tumbuh-tumbuhan di paya gambut Riisa pada awal pagi
Paya gambut Riisa di Taman Negara Soomaa, Estonia.

Hutan dan tanah gambut merupakan unsur penting landskap negara. Menurut Inventori Hutan Statistik Estonia bagi 2025, tanah hutan meliputi 2,360,200 hektar, bersamaan 52.1% daripada seluruh wilayah Estonia.[45] Paya meliputi kira-kira 6% kawasan daratan, manakala tanah gambut yang merangkumi bekas kawasan paya meliputi kira-kira 16% lagi.[46] Landskap ini amat menonjol di kawasan seperti Taman Negara Soomaa, yang dicirikan oleh kompleks paya gambut dan tanah lembap.

Normal iklim rasmi bagi tempoh 1991–2020 menunjukkan kontras bermusim yang jelas. Suhu purata tahunan bagi Estonia ialah 6.4 °C; Februari merupakan bulan paling sejuk secara purata pada −3.8 °C, manakala Julai paling panas pada 17.8 °C.[47] Pengaruh Laut Baltik menyebabkan kawasan pesisir dan pulau mengalami musim sejuk yang lebih sederhana berbanding pedalaman. Sebagai contoh, suhu purata Februari di Vilsandi ialah −1.4 °C, berbanding −5.3 °C di Väike-Maarja di pedalaman timur.[47]

Purata kerpasan tahunan seluruh negara bagi tempoh yang sama ialah 662 mm. Kerpasan secara umumnya lebih banyak pada separuh kedua musim panas dan musim luruh, dengan purata kebangsaan tertinggi pada Ogos, iaitu 81 mm.[48] Iklim Estonia turut menunjukkan trend pemanasan jangka panjang. Purata suhu tahunan meningkat daripada 5.2 °C bagi tempoh normal 1961–1990 kepada 6.4 °C bagi 1991–2020, sementara jumlah kerpasan meningkat kira-kira 6% berbanding purata 1961–1990.[49]

Kotak cuaca berikut menunjukkan normal 1991–2020 bagi stesen Tallinn-Harku di kawasan Tallinn dan oleh itu mewakili keadaan di sekitar ibu negara, bukannya purata seluruh Estonia.

Data iklim untuk Tallinn-Harku (normal 1991–2020)
Bulan Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sep Okt Nov Dis Tahun
Purata maksimum suhu harian, °C (°F) −0.7
(30.7)
−1.0
(30.2)
2.8
(37.0)
9.5
(49.1)
15.4
(59.7)
19.2
(66.6)
22.2
(72.0)
21.0
(69.8)
16.1
(61.0)
9.5
(49.1)
4.1
(39.4)
1.2
(34.2)
9.9
(49.8)
Purata suhu harian, °C (°F) −2.9
(26.8)
−3.6
(25.5)
−0.6
(30.9)
4.8
(40.6)
10.2
(50.4)
14.5
(58.1)
17.6
(63.7)
16.5
(61.7)
12.0
(53.6)
6.5
(43.7)
2.0
(35.6)
−0.9
(30.4)
6.4
(43.5)
Purata minimum suhu harian, °C (°F) −5.5
(22.1)
−6.2
(20.8)
−3.7
(25.3)
0.7
(33.3)
5.2
(41.4)
9.8
(49.6)
13.1
(55.6)
12.3
(54.1)
8.4
(47.1)
3.7
(38.7)
−0.2
(31.6)
−3.1
(26.4)
2.9
(37.2)
Purata kerpasan, mm (inci) 56
(2.2)
40
(1.6)
37
(1.5)
35
(1.4)
37
(1.5)
68
(2.7)
82
(3.2)
85
(3.3)
58
(2.3)
78
(3.1)
66
(2.6)
59
(2.3)
700
(27.6)
Sumber 1: Keskkonnaagentuur (suhu)[47]
Sumber 2: Keskkonnaagentuur (kerpasan)[48]

Estonia mempunyai ekonomi berpendapatan tinggi menurut klasifikasi Bank Dunia.[50] Ekonominya berkait rapat dengan pasaran Kesatuan Eropah (EU), khususnya negara-negara Nordik dan Baltik, dan perdagangan luar memainkan peranan penting kerana saiz pasaran domestiknya yang kecil. Estonia menggunakan euro pada 1 Januari 2011, sekali gus menjadi negara anggota EU ke-17 yang menyertai zon euro; Eesti Pank, bank pusat negara itu, pada masa yang sama menjadi sebahagian daripada Eurosistem.[51]

Selepas memperoleh semula kemerdekaan pada 1991, Estonia beralih dengan pantas daripada sistem ekonomi perancangan pusat era Soviet kepada ekonomi pasaran, melalui penstrukturan semula perusahaan, penswastaan serta pembukaan pasaran barangan, modal dan buruh. Dasar ekonominya sejak tempoh peralihan turut dicirikan oleh penekanan terhadap disiplin fiskal dan keterbukaan kepada perdagangan serta pelaburan.[52] Struktur ekonomi yang terbuka ini menyokong penumpuan taraf hidup Estonia dengan negara Eropah Barat, tetapi turut menjadikannya peka terhadap perubahan permintaan di pasaran eksport, kos tenaga dan keadaan ekonomi serantau.[53]

Prestasi makroekonomi

[sunting | sunting sumber]

Estonia merupakan antara ekonomi yang terjejas teruk oleh krisis kewangan global 2008–2009, sebelum kembali mencatat pertumbuhan pada dekad berikutnya.[52] Ekonomi negara itu mengalami satu lagi tempoh kelemahan yang berpanjangan selepas 2021. Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengaitkannya dengan kejutan harga tenaga, gangguan rantaian bekalan yang berkaitan dengan Rusia dan kelembapan dalam pasaran eksport Nordik utama; sektor pembuatan dan pembinaan terjejas dengan ketara, manakala perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih berdaya tahan.[53]

Data akaun negara yang disemak oleh Statistics Estonia menunjukkan bahawa volum keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar, pada harga berkaitan dengan tahun rujukan 2020, meningkat daripada €30.16 bilion pada 2021 kepada €30.37 bilion pada 2022, kemudian merosot kepada €29.48 bilion pada 2023. Volumnya hampir tidak berubah pada 2024 sebelum meningkat kepada €29.89 bilion pada 2025.[54] Pemulihan berterusan pada 2026. Anggaran pantas Statistics Estonia bagi suku kedua 2026 menunjukkan KDNK benar meningkat 2.1% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya dan 0.4% berbanding suku pertama setelah pelarasan bermusim dan hari bekerja. Angka tersebut ialah anggaran awal berasaskan pemodelan dan bukannya pengiraan KDNK rasmi yang lengkap.[55]

Struktur ekonomi, perdagangan dan pendigitalan

[sunting | sunting sumber]
Pemandangan Pelabuhan Muuga di Maardu, di timur Tallinn
Pelabuhan Muuga di timur Tallinn, pada 2009.

Eksport Estonia mencerminkan gabungan sektor perindustrian tradisional dan pengeluaran bernilai tambah lebih tinggi. Pada 2025, eksport barangan berjumlah lebih €18.6 bilion dan import melebihi €22.4 bilion, menghasilkan defisit perdagangan barangan sebanyak €3.8 bilion. Peralatan elektrik merangkumi 15% daripada eksport barangan, diikuti hasil pertanian dan sediaan makanan sebanyak 13% serta kayu dan barangan kayu sebanyak 11%. Bagi barangan keluaran Estonia sendiri, kayu dan barangan kayu merupakan kategori terbesar dengan 17% daripada eksport tersebut.[56]

Pasaran EU mendominasi perdagangan barangan Estonia. Pada 2025, Finland merupakan destinasi eksport terbesarnya dengan 15% daripada jumlah eksport, diikuti Latvia sebanyak 11% serta Sweden dan Lithuania masing-masing 9%. Finland juga merupakan sumber import terbesar dengan 12%, diikuti Latvia dan Jerman masing-masing 11%.[56] Kedudukan Estonia di Laut Baltik turut menyokong sektor pengangkutan dan logistik. Pelabuhan Muuga, kira-kira 17 km di timur Tallinn, ialah pelabuhan kargo terbesar di negara itu dan mengendalikan kontena, kargo pukal cecair dan kering, kargo am serta trafik Ro-Ro.[57]

Perdagangan perkhidmatan menghasilkan lebihan yang besar dan mengimbangi sebahagian daripada defisit perdagangan barangan. Pada 2025, eksport perkhidmatan berjumlah €13.8 bilion, manakala import berjumlah €10.6 bilion, menghasilkan lebihan €3.2 bilion. Perkhidmatan perniagaan lain merangkumi 31% daripada eksport perkhidmatan, diikuti perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat sebanyak 25% serta pengangkutan sebanyak 19%.[58]

Pendigitalan merupakan satu lagi ciri utama ekonomi moden Estonia. Laporan Suruhanjaya Eropah bagi Dekad Digital 2026 menilai negara itu sebagai mempunyai ekosistem digital yang kukuh, disokong oleh penggunaan meluas perkhidmatan awam digital dan penerapan teknologi maju dalam perniagaan. Walau bagaimanapun, laporan yang sama mengenal pasti kekurangan berterusan tenaga mahir ICT, kelemahan keselamatan siber dalam kalangan sebahagian perusahaan dan pertumbuhan kemahiran digital asas yang mendatar sebagai kekangan kepada penerapan teknologi dan daya saing selanjutnya.[59] OECD turut menyatakan bahawa Estonia mempunyai kedudukan yang baik untuk memanfaatkan kecerdasan buatan, tetapi penggunaannya masih lebih terhad dalam sektor tradisional dan kekurangan kemahiran menjadi salah satu penghalang kepada penyebaran yang lebih luas.[53]

Kewangan awam dan percukaian

[sunting | sunting sumber]

Estonia secara tradisinya mengekalkan hutang awam yang rendah berbanding kebanyakan negara EU, walaupun nisbahnya telah meningkat sejak awal dekad 2020-an. Menurut data sementara Eurostat, hutang kasar kerajaan am Estonia berjumlah 25.2% daripada KDNK pada akhir suku pertama 2026, nisbah terendah dalam EU pada ketika itu, berbanding purata EU sebanyak 82.9%.[60] Data awal Statistics Estonia pula mencatatkan defisit kerajaan am sebanyak 1.2% daripada KDNK bagi 2025, dengan jumlah perbelanjaan melebihi hasil sebanyak €490.5 juta.[61] OECD menilai bahawa hutang Estonia masih rendah dalam perbandingan antarabangsa, tetapi peningkatan perbelanjaan pertahanan, penuaan penduduk dan permintaan terhadap perkhidmatan awam menambah tekanan jangka sederhana terhadap kedudukan fiskal negara.[53]

Sistem percukaian Estonia mempunyai ciri tersendiri dalam pengenaan cukai korporat. Pada 2026, kadar umum cukai pendapatan ialah 22%. Bagi syarikat, keuntungan tidak dikenakan cukai korporat ketika diperoleh tetapi pada asasnya apabila keuntungan itu diagihkan, seperti melalui dividen; sejak 2025, kadar yang digunakan terhadap jumlah bersih yang diagihkan ialah 22/78, bersamaan kadar cukai 22% terhadap keuntungan. Kadar standard cukai nilai ditambah pula ialah 24% pada 2026.[62][63]

Pasaran buruh dan perbezaan wilayah

[sunting | sunting sumber]

Keadaan pasaran buruh bertambah baik pada separuh pertama 2026. Pada suku kedua tahun itu, kadar pengangguran bagi penduduk berumur 15 hingga 74 tahun ialah 6.6%, berbanding 7.5% bagi keseluruhan 2025. Kadar guna tenaga pada suku kedua 2026 ialah 68.6%, manakala kadar penyertaan tenaga buruh ialah 73.4%.[64] Purata gaji kasar bulanan pada suku pertama 2026 ialah €2,135, meningkat 6.2% berbanding tempoh yang sama pada 2025, manakala gaji median ialah €1,753. Bagi keseluruhan 2025, purata gaji kasar bulanan ialah €2,092.[65]

Aktiviti ekonomi dan pendapatan tidak tersebar secara sama rata antara wilayah. Tallinn dan kawasan sekitarnya merupakan pusat ekonomi utama negara. Pada 2024, KDNK per kapita Tallinn bersamaan 156% daripada purata Estonia dan angka bagi Daerah Harju secara keseluruhan ialah 134%. Sebaliknya, KDNK per kapita Daerah Ida-Viru ialah 62% daripada purata negara dan Daerah Valga 51%, manakala Daerah Tartu berada hampir pada purata nasional dengan 99%.[66] Perbezaan ini mencerminkan penumpuan aktiviti bernilai tambah tinggi, pekerjaan dan perkhidmatan di sekitar ibu negara, di samping struktur ekonomi yang berbeza antara wilayah.[53]

Serpih minyak telah lama menjadi sumber tenaga domestik yang penting bagi Estonia dan masih merupakan komponen utama sistem tenaganya, walaupun penggunaannya untuk penjanaan elektrik telah berkurang. Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyatakan bahawa pengurangan pergantungan terhadap penjanaan berasaskan serpih minyak telah menyumbang kepada penurunan pelepasan gas rumah hijau, tetapi bahan api fosil yang diimport masih penting, khususnya dalam sektor pengangkutan.[67]

Pada 2024, tenaga boleh baharu merangkumi 42.2% daripada penggunaan akhir kasar tenaga Estonia. Pengeluaran elektrik daripada tenaga angin meningkat kepada 1,164 GWh pada tahun itu, berbanding 683 GWh pada 2023, manakala pengeluaran solar meningkat daripada 721 GWh kepada 1,032 GWh.[68] Estonia menyasarkan untuk menghasilkan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi menampung 100% permintaan elektrik tahunannya menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga jangka panjangnya.[67] Walaupun kemajuan dalam tenaga boleh baharu dan pengurangan penggunaan serpih minyak telah dicapai, OECD masih menilai ekonomi Estonia sebagai agak intensif karbon dan menekankan keperluan untuk memperkukuh pelaburan serta daya tahan infrastruktur tenaga.[53]

Demografi

[sunting | sunting sumber]

Penduduk dan komposisi etnik

[sunting | sunting sumber]
Piramid penduduk Estonia mengikut umur dan jantina
Piramid penduduk Estonia mengikut umur dan jantina.

Pada 1 Januari 2026, Estonia mempunyai 1,360,745 penduduk, berkurang sebanyak 9,250 orang berbanding setahun sebelumnya. Penduduk berumur di bawah 18 tahun membentuk 18.7% daripada jumlah penduduk, mereka yang berumur 18 hingga 64 tahun sebanyak 59.9%, manakala 21.4% berumur 65 tahun dan ke atas.[31] Pada tahun 2025, sebanyak 9,240 kelahiran dan 15,688 kematian dicatatkan, menyebabkan bilangan kematian melebihi kelahiran sebanyak 6,448 orang. Dalam tahun yang sama, 15,212 orang berhijrah masuk dan 18,014 orang berhijrah keluar, menghasilkan imbangan migrasi bersih sebanyak −2,802 orang. Ini merupakan kali pertama imbangan migrasi Estonia menjadi negatif selepas lebih sedekad.[31] Kadar kesuburan keseluruhan pula ialah 1.16 anak bagi setiap wanita pada 2025.[69] Pada tahun yang sama, jangka hayat ketika lahir ialah 75.6 tahun bagi lelaki dan 83.6 tahun bagi wanita.[70]

Dari segi etnik, pada awal 2026 sebanyak 932,603 penduduk atau 68.5% dikenal pasti sebagai etnik Estonia, manakala 276,125 atau 20.2% ialah etnik Rusia. Sebanyak 146,619 orang atau 10.8% tergolong dalam kumpulan etnik lain dan etnik bagi 5,398 orang tidak diketahui. Estonia mempunyai penduduk daripada 224 kumpulan etnik yang berbeza.[71] Orang Ukraine merupakan kumpulan ketiga terbesar dengan 75,250 orang atau 5.5% daripada penduduk, meningkat daripada 27,826 orang pada awal 2022 dalam tempoh perang Rusia–Ukraine. Kumpulan lain yang agak besar termasuk orang Belarus (11,477), Finland (8,059) dan Latvia (4,272).[71]

Taburan etnik berbeza dengan ketara mengikut wilayah. Pada 2026, etnik Estonia membentuk 95.7% daripada penduduk Daerah Saare, tetapi hanya 20.9% di Daerah Ida-Viru, kawasan perindustrian di timur laut yang mempunyai komuniti berbahasa Rusia yang besar.[71] Corak ini sebahagiannya berakar daripada penghijrahan berskala besar dari bahagian lain Kesatuan Soviet selepas Perang Dunia Kedua, apabila ramai pendatang ditempatkan di Tallinn serta bandar dan kawasan perindustrian di timur laut Estonia.[72]

Kewarganegaraan dan etnik merupakan kategori yang berasingan dalam statistik Estonia. Pada awal 2026, 82.2% penduduk mempunyai kewarganegaraan Estonia, manakala 4.3% mempunyai status kewarganegaraan tidak ditentukan. Sebahagian besar kumpulan terakhir terdiri daripada penduduk jangka panjang Estonia yang tidak mempunyai kewarganegaraan mana-mana negara.[71]

Bahasa Estonia (eesti keel) ialah satu-satunya bahasa rasmi Estonia. Bahasa ini tergolong dalam cabang Finnik daripada rumpun bahasa Ural dan berkait rapat dengan bahasa Finland. Oleh sebab asal usulnya yang berbeza, bahasa Estonia tidak mempunyai hubungan genetik rapat dengan bahasa-bahasa jiran dalam rumpun bahasa Indo-Eropah, seperti bahasa Rusia, bahasa Latvia dan bahasa Sweden, walaupun hubungan sejarah yang panjang telah menghasilkan banyak peminjaman kosa kata.[73]

Pada awal 2026, sebanyak 262 bahasa direkodkan sebagai bahasa ibunda dalam kalangan penduduk Estonia. Bahasa Estonia merupakan bahasa ibunda bagi 890,104 orang atau 65.4% penduduk, diikuti bahasa Rusia dengan 366,251 orang atau 26.9% dan bahasa Ukraine dengan 55,812 orang atau 4.1%. Lebih daripada 5,000 penduduk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda dan hampir 4,000 menggunakan bahasa Finland.[71] Perbezaan antara komposisi etnik dengan bahasa ibunda mencerminkan hakikat bahawa identiti etnik seseorang tidak semestinya sama dengan bahasa yang dianggap sebagai bahasa ibundanya.[71]

Penggunaan bahasa kedua juga meluas. Berdasarkan tinjauan yang dijalankan bagi Banci Penduduk dan Perumahan 2021, dianggarkan 76% penduduk berumur tiga tahun dan ke atas menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa asing. Bahasa Inggeris telah menggantikan bahasa Rusia sebagai bahasa asing yang paling meluas, dengan masing-masing dituturkan oleh 48% dan 39% penduduk. Bahasa Estonia pula dikuasai sebagai bahasa asing oleh 17% penduduk. Oleh sebab seseorang boleh menguasai lebih daripada satu bahasa asing, peratusan ini tidak saling eksklusif.[74]

Kedudukan bahasa Estonia sebagai bahasa rasmi ditetapkan oleh Perlembagaan Estonia dan Akta Bahasa. Perlembagaan menetapkan bahasa Estonia sebagai bahasa rasmi badan negara dan kerajaan tempatan. Walau bagaimanapun, di sesuatu kawasan yang sekurang-kurangnya separuh daripada penduduk tetapnya tergolong dalam suatu minoriti kebangsaan, penduduk berhak menerima jawapan daripada badan negara dan kerajaan tempatan dalam bahasa minoriti tersebut. Kerajaan tempatan juga boleh menggunakan bahasa majoriti penduduk sebagai bahasa kerja dalaman setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.[75] Dengan itu, bahasa minoriti tidak mempunyai kedudukan sebagai bahasa rasmi bersama negara.

Bahasa Isyarat Estonia (eesti viipekeel) pula diiktiraf sebagai bahasa tersendiri, manakala bahasa Estonia berisyarat ditakrifkan sebagai suatu bentuk bahasa Estonia di bawah Akta Bahasa.[76] Dalam Banci 2021, 444 orang menyatakan Bahasa Isyarat Estonia sebagai bahasa ibunda dan 480 orang lagi menguasainya sebagai bahasa tambahan.[77]

Data agama terkini yang menyeluruh diperoleh daripada komponen tinjauan Banci Penduduk dan Perumahan 2021. Soalan mengenai agama diajukan kepada penduduk berumur 15 tahun dan ke atas dan penyertaannya adalah secara sukarela. Sebanyak 58% menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai anutan agama, 29% mempunyai anutan agama dan 13% memilih untuk tidak menjawab.[78]

Kristian Ortodoks merupakan kelompok agama terbesar, merangkumi kira-kira 16% penduduk berumur 15 tahun dan ke atas, diikuti Lutheran sebanyak 8%; agama-agama lain secara keseluruhannya membentuk sekitar 5%. Corak ini mempunyai dimensi etnik yang ketara, dengan Lutheranisme lebih meluas dalam kalangan etnik Estonia dan Kristian Ortodoks dalam kalangan etnik Rusia serta kelompok Slav lain.[78] Bahagian penduduk yang mengaitkan diri dengan Lutheranisme menurun daripada 14% pada 2000 kepada 10% pada 2011 dan 8% pada 2021, manakala bahagian penganut Kristian Ortodoks meningkat daripada 14% pada 2000 kepada 16% pada 2011 dan kekal pada aras yang sama pada 2021. Pada banci terakhir itu, Katolik membentuk sekitar 0.8% dan Muslim sekitar 0.5% daripada penduduk berumur 15 tahun dan ke atas.[78]

Budaya Estonia terbentuk daripada tradisi masyarakat berbahasa Estonia serta lapisan pengaruh sejarah yang menghubungkan negara itu dengan kawasan Laut Baltik dan Eropah Utara. Kedudukannya di persimpangan Eropah Utara dan Timur menghasilkan warisan yang dipengaruhi oleh dunia Jerman dan Skandinavia, diikuti oleh pemerintahan Empayar Rusia dan Kesatuan Soviet. Unsur tempatan seperti bahasa, cerita rakyat, nyanyian tradisional, sauna dan kehidupan desa pula terus menjadi sebahagian penting daripada identiti kebudayaan Estonia.[79] Sejak Kebangkitan Kebangsaan Estonia pada abad ke-19, kesusasteraan, muzik paduan suara dan pengumpulan tradisi lisan memainkan peranan penting dalam pembentukan kesedaran kebangsaan.[80][81]

Bangunan Muzium Negara Estonia di Tartu
Bangunan Muzium Negara Estonia di Tartu.

Warisan budaya negara merangkumi tradisi serantau yang masih diamalkan serta institusi seni moden. UNESCO menyenaraikan tujuh unsur warisan budaya tidak ketara yang dikaitkan dengan Estonia setakat 2026. Antaranya ialah ruang budaya Kihnu, tradisi nyanyian polifoni Seto leelo, tradisi sauna asap di Võromaa, perayaan lagu dan tarian Baltik serta penyediaan Mulgi puder; pembinaan dan penggunaan perahu dugout yang dikembangkan di Soomaa pula disenaraikan sebagai warisan yang memerlukan perlindungan segera.[82] Muzium Negara Estonia, yang diasaskan di Tartu pada 1909, merupakan salah satu institusi utama yang mendokumentasikan sejarah budaya dan warisan etnologi Estonia.[83]

Simbol kebangsaan

[sunting | sunting sumber]

Bendera Estonia terdiri daripada tiga jalur mendatar biru, hitam dan putih. Panji tiga warna itu mula ditahbiskan di Otepää pada 4 Jun 1884 sebagai bendera Persatuan Pelajar Universiti Estonia sebelum berkembang menjadi simbol gerakan kebangsaan. Kerajaan Sementara Estonia mengisytiharkannya sebagai bendera negara pada 21 November 1918 dan Riigikogu meluluskan undang-undang mengenai bendera itu pada 27 Jun 1922. Penggunaannya dilarang selepas pengilhakan Estonia oleh Kesatuan Soviet pada 1940, tetapi bendera tersebut muncul semula secara terbuka ketika Revolusi Nyanyian pada penghujung 1980-an dan diterima semula sebagai bendera negara pada 7 Ogos 1990.[84]

Jata Estonia memaparkan tiga ekor singa biru pada perisai emas. Bentuk besarnya dikelilingi dua ranting oak, manakala bentuk kecil hanya menggunakan perisai. Riigikogu menerima pakai jata negara pada 19 Jun 1925; seperti bendera, penggunaannya dilarang pada zaman Soviet sebelum dipulihkan pada 7 Ogos 1990. Lagu kebangsaan, Mu isamaa, mu õnn ja rõõm ("Tanah airku, kebahagiaan dan kegembiraanku"), menggunakan melodi gubahan Fredrik Pacius dan lirik oleh Johann Voldemar Jannsen. Versi Estonia dinyanyikan pada Perayaan Lagu Estonia yang pertama pada 1869 dan diterima secara rasmi sebagai lagu kebangsaan pada 1920.[84]

Selain lambang negara rasmi, beberapa spesies dan unsur alam telah dipilih sebagai simbol kebangsaan melalui inisiatif masyarakat dan organisasi berkaitan. burung layang-layang bangsal menjadi burung kebangsaan pada 1962, manakala Centaurea cyanus atau bunga jagung dipilih sebagai bunga kebangsaan pada penghujung 1960-an. Ikan hering Baltik ditetapkan sebagai ikan kebangsaan pada 2007 dan serigala sebagai haiwan kebangsaan pada 2018; batu kapur turut dikenali sebagai batu kebangsaan Estonia.[85]

Seni dan seni bina

[sunting | sunting sumber]

Warisan seni bina Estonia memperlihatkan pertembungan tradisi tempatan dengan aliran Eropah yang silih berganti. Contoh yang paling menonjol ialah pusat bersejarah Bandar Lama Tallinn, sebuah bandar perdagangan zaman pertengahan yang mengekalkan jaringan jalan, kubu, bangunan awam, gereja dan rumah saudagar daripada zaman ketika Tallinn menjadi sebahagian daripada rangkaian perdagangan Liga Hansa. UNESCO memasukkan pusat bersejarah itu ke dalam Tapak Warisan Dunia pada 1997 berdasarkan nilai pertukaran budaya serta keutuhannya sebagai contoh bandar perdagangan Eropah Utara zaman pertengahan.[86]

Seni bina Estonia pada abad ke-20 dan ke-21 berkembang seiring perubahan politik dan sosial negara itu serta kekal terbuka kepada pengaruh antarabangsa. Landskap binaannya merangkumi historisisme dan Art Nouveau, fungsionalisme antara perang, seni bina era Soviet dan pelbagai aliran pascamoden serta kontemporari. Muzium Seni Bina Estonia menekankan bahawa perubahan rejim, peperangan, kemerosotan ekonomi dan zaman pembinaan pesat semuanya meninggalkan kesan pada persekitaran binaan negara, sementara arkitek tempatan sering menyesuaikan pengaruh luar dengan budaya pembinaan setempat.[87]

Dalam seni tampak, awal abad ke-20 menyaksikan pertemuan Romantisisme kebangsaan dan Simbolisme dengan aliran moden Eropah. Kristjan Raud dan Oskar Kallis memperoleh inspirasi daripada epik Kalevipoeg, sementara pelukis seperti Konrad Mägi dan Nikolai Triik serta pengarca Jaan Koort membawa pengaruh modenisme antarabangsa. Penubuhan Sekolah Seni Pallas di Tartu menjadi perkembangan penting dalam pembentukan seni moden Estonia; generasi berikutnya turut meneroka Ekspresionisme, Konstruktivisme, Objektiviti Baharu dan bentuk-bentuk Impresionisme lewat.[88] Akademi Seni Estonia (Estonia: Eesti Kunstiakadeemia, EKA), yang diasaskan pada 1914, ialah satu-satunya universiti awam Estonia yang khusus menyediakan pendidikan tinggi dalam seni halus, reka bentuk, seni bina, media, kajian visual, sejarah seni dan pemuliharaan.[89]

Kesusasteraan

[sunting | sunting sumber]

Kesusasteraan bertulis dalam bahasa Estonia berkembang rapat dengan kebangkitan kebangsaan abad ke-19 dan usaha mengumpulkan tradisi lisan. Tokoh utama zaman tersebut ialah Friedrich Reinhold Kreutzwald, yang menerbitkan epik kebangsaan Kalevipoeg pada pertengahan abad ke-19. Berasaskan bahan cerita rakyat dan puisi tradisional, karya itu kemudian menjadi sumber motif yang berulang dalam kesusasteraan, seni tampak dan muzik serta memainkan peranan dalam perkembangan kesedaran kebangsaan Estonia.[80]

Pada abad ke-20, A. H. Tammsaare muncul sebagai salah seorang tokoh kanun kesusasteraan Estonia. Karya utamanya, siri novel lima jilid Tõde ja õigus ("Kebenaran dan Keadilan"), diterbitkan antara 1926 dengan 1933 dan mengupas perubahan masyarakat Estonia melalui kehidupan keluarga, tanah, agama, pendidikan dan konflik sosial.[90] Jaan Kross pula terkenal dengan novel sejarah yang menggunakan tokoh dan peristiwa daripada sejarah Estonia untuk membincangkan persoalan kuasa, kebebasan individu dan identiti. Karya sejarahnya berasaskan penyelidikan terperinci dan mendapat pembaca antarabangsa yang luas, terutama pada dekad-dekad akhir zaman Soviet dan selepas pemulihan kemerdekaan.[91]

Kesusasteraan kontemporari merangkumi fiksyen realistik, sejarah, eksperimental, fantasi dan karya yang mentafsir semula cerita rakyat. Andrus Kivirähk, misalnya, menggunakan mitologi dan cerita rakyat Estonia secara satira dan fantastik dalam karya seperti Rehepapp (2000) dan Mees, kes teadis ussisõnu (2007). Menjelang 2020, Pusat Kesusasteraan Estonia menyifatkannya sebagai penulis Estonia kontemporari yang paling banyak diterjemahkan, mencerminkan peningkatan jangkauan kesusasteraan Estonia di luar negara.[80]

Muzik dan seni persembahan

[sunting | sunting sumber]
Perayaan Lagu Estonia pada tahun 2019
Perayaan Lagu Estonia pada 2019. Tradisi perayaan lagu dan tarian Baltik telah disenaraikan oleh UNESCO sebagai warisan budaya tidak ketara.

Tradisi nyanyian beramai-ramai mempunyai kedudukan yang penting dalam sejarah kebudayaan Estonia. Perayaan Lagu Estonia kebangsaan yang pertama berlangsung di Tartu pada 18 hingga 20 Jun 1869, dianjurkan oleh persatuan Vanemuine di bawah pimpinan Johann Voldemar Jannsen. Perayaan itu berkembang semasa kebangkitan kebangsaan dan kemudiannya diadakan secara berkala walaupun melalui zaman Empayar Rusia, kemerdekaan pertama Estonia dan pemerintahan Soviet. Sejak 1950, perayaan umum lazimnya berlangsung setiap lima tahun, dengan kitaran berdasarkan tahun perayaan pertama diselaraskan semula pada 1994.[81] Bersama tradisi seumpamanya di Latvia dan Lithuania, perayaan lagu dan tarian Baltik dimasukkan ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada 2008, selepas terlebih dahulu diisytiharkan sebagai Karya Agung Warisan Lisan dan Tidak Ketara Kemanusiaan pada 2003.[82]

Muzik paduan suara turut berkait dengan gerakan pemulihan kemerdekaan pada penghujung 1980-an. Pertemuan besar di Tapak Perayaan Lagu Tallinn pada 1988, yang menggabungkan tuntutan politik dengan nyanyian patriotik, menjadi salah satu unsur utama Revolusi Nyanyian. Lagu Mu isamaa on minu arm, gubahan Gustav Ernesaks berdasarkan puisi Lydia Koidula, memperoleh kedudukan simbolik khusus pada zaman Soviet dan secara tradisinya dinyanyikan pada penghujung perayaan lagu.[81] Tradisi nyanyian tempatan lain termasuk Seto leelo, bentuk nyanyian polifoni masyarakat Seto yang dimasukkan ke dalam senarai UNESCO pada 2009.[82]

Dalam muzik seni kontemporari, Arvo Pärt merupakan salah seorang komposer Estonia yang paling menonjol di peringkat antarabangsa. Selepas tempoh eksperimen dengan teknik modenisme pada 1960-an, beliau membangunkan bahasa gubahan yang dinamainya tintinnabuli pada 1976. Teknik itu mula digunakan dalam Für Alina dan kemudiannya menjadi asas karya seperti Fratres, Tabula rasa dan Spiegel im Spiegel.[92]

Tradisi teater profesional berbahasa Estonia bermula pada abad ke-19. Teater Vanemuine di Tartu, yang diasaskan pada 1870, dianggap sebagai teater pertama berbahasa Estonia. Pada masa kini, ia kekal sebagai satu-satunya teater tiga genre di negara itu, dengan repertoir yang merangkumi drama, persembahan muzik dan balet.[93]

Filem, televisyen dan media

[sunting | sunting sumber]

Sejarah filem tempatan Estonia lazimnya ditarikhkan dari 1912. Warisan sinemanya kemudiannya berkembang merangkumi filem cereka, dokumentari, filem berita, filem pendidikan dan animasi.[94] Animasi menjadi salah satu bidang yang tersendiri dalam sinema Estonia pada zaman Soviet. Elbert Tuganov menubuhkan bahagian animasi boneka yang kemudian dikenali sebagai Nukufilm dan mengarah filem boneka pertamanya, Little Peter's Dream, pada 1958.[95] Rein Raamat pula mengasaskan studio animasi lukisan Eesti Joonisfilm pada 1971 dan membantu melahirkan generasi pembikin animasi termasuk Priit Pärn.[96]

Filem Estonia memperoleh pengiktirafan antarabangsa melalui festival dan anugerah filem. Tangerines, yang mewakili Estonia, merupakan salah satu daripada lima calon akhir bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik pada Anugerah Akademi ke-87 pada 2015.[97] Festival Filem Black Nights Tallinn (Estonia: Pimedate Ööde filmifestival, PÖFF), yang pertama kali diadakan pada 1996, berkembang menjadi festival filem antarabangsa utama dan kini diklasifikasikan sebagai acara bertaraf A oleh Persekutuan Persatuan Penerbit Filem Antarabangsa (FIAPF).[98][99]

Penyiaran awam disediakan oleh Eesti Rahvusringhääling (ERR), yang dibentuk pada 1 Jun 2007 melalui penggabungan Eesti Televisioon dan Eesti Raadio. Rangkaian televisyennya merangkumi ETV, ETV2 dan saluran berbahasa Rusia ETV+, manakala perkhidmatan radio utamanya termasuk Vikerraadio, Raadio 2, Klassikaraadio, Raadio 4 dan Raadio Tallinn. ERR turut mengendalikan berita dan kandungan audiovisual dalam talian serta arkib penyiaran digital.[100]

Hidangan Mulgi puder daripada kentang dan barli
Mulgi puder, hidangan tradisional daripada kentang dan barli yang berasal dari Mulgimaa.

Masakan Estonia secara tradisinya menggunakan hasil pertanian, hutan dan perairan tempatan. Roti rai, kentang, produk tenusu, cendawan dan beri merupakan bahan asas yang meluas, sementara ciri serantau mencerminkan geografi negara. Kawasan utara dan pesisir lebih banyak menggunakan sprat dan hering, manakala kawasan selatan terkenal dengan bijirin, roti gelap dan madu. Di pulau-pulau seperti Saaremaa dan Muhu, ikan serta hasil laut memainkan peranan yang lebih besar, sementara kawasan sekitar Tasik Peipus mempunyai tradisi makanan yang dipengaruhi komuniti Penganut Lama Rusia.[101]

Antara makanan yang sering dikaitkan dengan masakan Estonia ialah kiluvõileib, iaitu roti rai berlapik ikan sprat, serta verivorst atau sosej darah yang lazim dimakan bersama kubis masam pada musim Krismas. Kama pula ialah campuran tepung yang biasanya diperbuat daripada barli, rai, oat dan kacang pea serta digunakan bersama produk susu masam atau dalam pencuci mulut.[102]

Mulgi puder, hidangan kentang lenyek dan barli dari Mulgimaa, mempunyai kedudukan khusus sebagai tradisi makanan serantau. Kentang yang dihiris direbus bersama barli yang telah direndam sebelum dilenyek dan lazimnya disajikan dengan daging atau sayur-sayuran. Tradisi menyediakan dan memakan hidangan itu diturunkan dalam keluarga serta diamalkan dalam perhimpunan masyarakat, sekolah dan acara tempatan. UNESCO memasukkannya ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada 2024.[103]

Estonia mempunyai tradisi sukan Olimpik yang bermula sejak tahun-tahun awal kemerdekaannya. Dalam Sukan Olimpik Musim Panas 1920 di Antwerp, 14 atlet Estonia bertanding. Alfred Neuland memenangi pingat emas dalam angkat berat, sementara Jüri Lossmann memperoleh perak dalam maraton dan Alfred Schmidt memperoleh perak dalam angkat berat.[104]

Selepas pemulihan kemerdekaan, Estonia kembali bertanding di bawah benderanya sendiri pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 1992 di Albertville dan Sukan Olimpik Musim Panas 1992 di Barcelona, dan sejak itu tidak terlepas mana-mana temasya Olimpik. Sehingga 20 Ogos 2026, atlet Estonia dalam era pascapemulihan kemerdekaan telah memenangi 24 pingat Olimpik. Antara pencapaian utamanya ialah emas Erki Nool dalam dekatlon pada 2000, kejuaraan Olimpik Andrus Veerpalu dalam ski rentas desa pada 2002 dan 2006, dua emas Kristina Šmigun-Vähi pada 2006, emas Gerd Kanter dalam lontar cakera pada 2008 serta emas berpasukan wanita dalam lawan pedang épée pada Olimpik Tokyo 2021. Pemenang pingat Olimpik Estonia yang lebih mutakhir termasuk pemain ski gaya bebas Kelly Sildaru dan Henry Sildaru.[105]

  1. ↑ "Population by ethnic nationality, 1 January, year". stat.ee. Statistics Estonia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-01-07. Dicapai pada 2010-Dec-29. {{cite web}}: Check date values in: |accessdate= (bantuan)
  2. ↑ "Extraordinary year for population statistics". Statistics Estonia. 16 May 2023. Dicapai pada 16 May 2023.[pautan mati kekal]
  3. ↑ "Population census: Estonia's population and the number of Estonians have grown". Statistics Estonia. June 1, 2022. Dicapai pada 5 June 2022.
  4. 1 2 3 4 "Report for Selected Countries and Subjects". Tabung Kewangan Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-04-16.
  5. ↑ "Gini coefficient of equivalised disposable income". EU-SILC survey. Eurostat. Dicapai pada 22 June 2022.
  6. ↑ "Human Development Report 2021/2022" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). United Nations Development Programme. 8 September 2022. Dicapai pada 8 September 2022.
  7. ↑ Perubahan wilayah Soviet terhadap Estonia selepas Perang Dunia Kedua
  8. ↑ Pechory dalam penguasaan Rusia
  9. ↑ Republik Estonia. Laman web rasmi Republik Estonia (dalam bahasa Estonia)
  10. ↑ "Estonian Economic Miracle: A Model For Developing Countries". Global Politician. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-06-28. Dicapai pada 5 Jun 2011.
  11. ↑ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama "HDI"
  12. ↑ "Press Freedom Index 2011-2012 - Reporters Without Borders". En.rsf.org. Dicapai pada 2012-11-25.
  13. ↑ Templat:Memetik buku
  14. 1 2 "Constitution of the Republic of Estonia" (dalam bahasa Inggeris). Office of the President of the Republic of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  15. ↑ "What does Riigikogu do?". Riigikogu (dalam bahasa Inggeris). Chancellery of the Riigikogu. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  16. 1 2 "Powers and Responsibilities" (dalam bahasa Inggeris). Office of the President of the Republic of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  17. ↑ "Oath of the President" (dalam bahasa Inggeris). Office of the President of the Republic of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  18. ↑ "Kristen Michal" (dalam bahasa Inggeris). Government of the Republic of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  19. ↑ "Coalition agreement between the Estonian Reform Party and Eesti 200" (dalam bahasa Inggeris). Government of the Republic of Estonia. 24 Mac 2025. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  20. ↑ "Elections of the Riigikogu". Riigikogu (dalam bahasa Inggeris). Chancellery of the Riigikogu. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  21. 1 2 "Voting and election result". Elections in Estonia (dalam bahasa Inggeris). State Electoral Office. 20 April 2023. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  22. ↑ "Statistics about Internet voting in Estonia". Elections in Estonia (dalam bahasa Inggeris). State Electoral Office. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  23. ↑ "Internet voting in Estonia". Elections in Estonia (dalam bahasa Inggeris). State Electoral Office. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  24. ↑ "The Riigikogu passed constitutional amendment restricting the right to vote". Riigikogu (dalam bahasa Inggeris). Chancellery of the Riigikogu. 26 Mac 2025. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  25. ↑ "Estonian Court System" (dalam bahasa Inggeris). Supreme Court of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  26. ↑ "The Chancellor of Justice, defender of the constitutionality" (dalam bahasa Inggeris). Office of the Chancellor of Justice. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  27. ↑ "Administrative-Territorial Reform" (dalam bahasa Inggeris). Ministry of Finance of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  28. 1 2 "Population of counties after administrative reform" (dalam bahasa Inggeris). Statistics Estonia. 23 November 2017. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  29. 1 2 "ISO 3166-2: Euroopa 1 (A–H)" (dalam bahasa Estonia). Eesti Keele Instituut. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  30. ↑ "RV0291U: Population number, area and density, 1 January" (dalam bahasa Inggeris). Statistics Estonia. 13 Mei 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  31. 1 2 3 "Elanike arv kohalike omavalitsuste kaupa" (dalam bahasa Estonia). Eesti Linnade ja Valdade Liit. Dicapai pada 29 Ogos 2026. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Penduduk2026" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  32. ↑ "Territory of Estonia Administrative Division Act". Riigi Teataja (dalam bahasa Inggeris). Ministry of Justice and Digital Affairs of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  33. ↑ "Regional Administration and County Government Reform" (dalam bahasa Inggeris). Ministry of Finance of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  34. 1 2 "Local Government Organisation Act". Riigi Teataja (dalam bahasa Inggeris). Ministry of Justice and Digital Affairs of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  35. ↑ "Data exchange layer X-tee" (dalam bahasa Inggeris). Estonian Information System Authority. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  36. 1 2 3 "30DayMapChallenge 2024". Geoportal (dalam bahasa Inggeris). Estonian Land and Spatial Development Board. 8 Januari 2025. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  37. ↑ "Sea". The Estonian Environmental Portal (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  38. ↑ "Programme area". ESTLAT (dalam bahasa Inggeris). Interreg Estonia-Latvia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  39. ↑ "Border Management" (dalam bahasa Inggeris). Ministry of the Interior of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  40. ↑ "Tartu Peace, 2 February 1920" (dalam bahasa Inggeris). Ministry of Foreign Affairs of Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  41. ↑ "Border treaties between Estonia and Russia were signed by the countries' foreign ministers" (dalam bahasa Inggeris). Ministry of Foreign Affairs of Estonia. 18 Februari 2014. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  42. ↑ "Russian border guards illegally crossed the temporary control line on the Narva River" (dalam bahasa Inggeris). Ministry of Foreign Affairs of Estonia. 17 Disember 2025. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  43. 1 2 3 "Siseveekogude levik". Keskkonnaportaal (dalam bahasa Estonia). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  44. 1 2 3 "Surface water". The Estonian Environmental Portal (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  45. ↑ "Metsade levik ja kaitse". Keskkonnaportaal (dalam bahasa Estonia). 21 Ogos 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  46. ↑ "The types and protection of mires". The Estonian Environmental Portal (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  47. 1 2 3 "Temperature" (dalam bahasa Inggeris). Estonian Environment Agency Weather Services. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  48. 1 2 "Precipitation" (dalam bahasa Inggeris). Estonian Environment Agency Weather Services. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  49. ↑ "Climate change". The Estonian Environmental Portal (dalam bahasa Inggeris). 26 Jun 2025. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  50. ↑ "Glossary". World Development Indicators. World Bank. Dicapai pada 29 Ogos 2026. {{cite web}}: Text "DataBank" ignored (bantuan)
  51. ↑ "Estonia joins the euro area". European Central Bank. 1 Januari 2011. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  52. 1 2 OECD Reviews of Labour Market and Social Policies: Estonia 2010 (Laporan). Paris: OECD Publishing. 10 Mei 2010. doi:10.1787/9789264082120-en. {{cite report}}: |access-date= requires |url= (bantuan)
  53. 1 2 3 4 5 6 OECD Economic Surveys: Estonia 2026 (Laporan). Paris: OECD Publishing. 8 Jun 2026. doi:10.1787/2514521c-en. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  54. ↑ "Real GDP growth rate (chain-linked volume)". Statistics Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  55. ↑ "GDP flash estimate: the economy grew by 2.1% in Q2". Statistics Estonia. 30 Julai 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  56. 1 2 "In 2025, exports of goods increased by 7% and imports by 8%". Statistics Estonia. 9 Februari 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  57. ↑ "Muuga Harbour". Port of Tallinn. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  58. ↑ "The growth in foreign trade in services was mainly driven by imports and exports of other business services". Statistics Estonia. 4 Mac 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  59. ↑ "Estonia's 2026 Digital Decade Country Report". Shaping Europe’s digital future. European Commission. 17 Jun 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  60. ↑ "Government debt at 88.9% of GDP in euro area". Eurostat. 21 Julai 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  61. ↑ "Government budgetary position improved last year, government debt increased". Statistics Estonia. 25 Mac 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  62. ↑ "Income tax and basic exemption". Estonian Tax and Customs Board. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  63. ↑ "Tax rates". Estonian Tax and Customs Board. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  64. ↑ "Labour market". Statistics Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  65. ↑ "Average monthly gross wages and salaries". Statistics Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  66. ↑ "National accounts". Statistics Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  67. 1 2 "Estonia". International Energy Agency. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  68. ↑ "Energy". Statistics Estonia. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  69. ↑ "Births". Statistics Estonia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 August 2026.
  70. ↑ "Life expectancy". Statistics Estonia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 August 2026.
  71. 1 2 3 4 5 6 "There are people of 224 different ethnic nationalities living in Estonia". Statistics Estonia (dalam bahasa Inggeris). 11 August 2026. Dicapai pada 29 August 2026.
  72. ↑ Sokolova, Nastja (2012). "Migration Patterns". Dalam Vetik, Raivo; Helemäe, Jelena (penyunting). The Russian Second Generation in Tallinn and Kohtla-Järve: The TIES Study in Estonia (dalam bahasa Inggeris). Amsterdam University Press. m/s. 27–38. doi:10.1017/9789048512881.003.
  73. ↑ Sutrop, Urmas (2015). The Estonian Language (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Estonian Institute. m/s. 4. Dicapai pada 29 August 2026.
  74. ↑ "Population census. 76% of Estonia's population speak a foreign language". Population and Housing Census 2021 (dalam bahasa Inggeris). Statistics Estonia. 16 November 2022. Dicapai pada 29 August 2026.
  75. ↑ "The Constitution of the Republic of Estonia". Riigi Teataja (dalam bahasa Inggeris). §§ 51–52. Dicapai pada 29 August 2026.
  76. ↑ "Language Act". Riigi Teataja (dalam bahasa Inggeris). § 3. Dicapai pada 29 August 2026.
  77. ↑ "243 mother tongues spoken in Estonia". Population and Housing Census 2021 (dalam bahasa Inggeris). Statistics Estonia. 14 March 2023. Dicapai pada 29 August 2026.
  78. 1 2 3 "Demographic and ethno-cultural characteristics of the population". Population and Housing Census 2021 (dalam bahasa Inggeris). Statistics Estonia. Dicapai pada 29 August 2026.
  79. ↑ Pedmanson, Peep (2014). Celebration (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Tallinn: Estonian Institute. m/s. 36. ISBN 978-9949-9507-8-2. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  80. 1 2 3 Books from Estonia (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Tallinn: Estonian Literature Centre. 2020. m/s. 10. ISSN 1736-6895. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  81. 1 2 3 "History of Song Festivals". XXVIII Song and XXI Dance Celebration (dalam bahasa Inggeris). Eesti Laulu- ja Tantsupeo SA. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  82. 1 2 3 "Estonia – Elements on the Lists of Intangible Cultural Heritage". Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  83. ↑ "The Museum". Estonian National Museum (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  84. 1 2 "National Symbols". Office of the President of the Republic of Estonia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  85. ↑ "National species". Estonian Environmental Portal (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  86. ↑ "Historic Centre (Old Town) of Tallinn". World Heritage List (dalam bahasa Inggeris). UNESCO World Heritage Centre. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  87. ↑ "SPACE IN MOTION: A Century of Estonian Architecture". Estonian Museum of Architecture (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  88. ↑ "Permanent exhibition. Treasury. Classics of Estonian Art from the Beginning of the 18th Century until the End of the Second World War". Art Museum of Estonia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  89. ↑ "About". Estonian Academy of Arts (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  90. ↑ "A. H. Tammsaare". Tallinna Kirjanduskeskus (dalam bahasa Estonia). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  91. ↑ 10 Books from Estonia (PDF). No. 2, Spring 2009 (dalam bahasa Inggeris). Estonian Literature Centre. 2009. m/s. 4. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  92. ↑ "Biography". Arvo Pärt Centre (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  93. ↑ "History". Vanemuine (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  94. ↑ "Estonian Film Database". Estonian Film Database (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  95. ↑ "Director: Elbert Tuganov". Restored Classics (dalam bahasa Inggeris). Estonian Film Institute. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  96. ↑ "Director: Rein Raamat". Restored Classics (dalam bahasa Inggeris). Estonian Film Institute. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  97. ↑ "2015 Academy Awards". Oscars.org (dalam bahasa Inggeris). Academy of Motion Picture Arts and Sciences. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  98. ↑ "Tallinn Black Nights Film Festival". PÖFF (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  99. ↑ "PÖFF, Recognised with A-List Status for Its Global Impact and Industry Contribution, opened its submissions". PÖFF (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  100. ↑ "ERR: About us". ERR (dalam bahasa Inggeris). Eesti Rahvusringhääling. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  101. ↑ "A tour of regional Estonian cuisine". Visit Estonia (dalam bahasa Inggeris). 29 April 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  102. ↑ Vaida, Ann. "Five classic foods to try in Estonia". Visit Estonia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  103. ↑ "Cooking and eating Mulgi puder, traditional mashed potato with barley in the Mulgimaa region, Estonia". Intangible Cultural Heritage (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  104. ↑ "Antwerp". Eesti Olümpiakomitee (dalam bahasa Estonia). Estonian Olympic Committee. Dicapai pada 29 Ogos 2026.
  105. ↑ "Taasiseseisvunud Eesti sportlased on võitnud üle 4200 tiitlivõistluste medali". Eesti Olümpiakomitee (dalam bahasa Estonia). Estonian Olympic Committee. 20 Ogos 2026. Dicapai pada 29 Ogos 2026.